Penulis: Najwa Azmi

Pertama sekali, saya ingin menyatakan bahawa setiap pengalaman yang dialami mungkin berbeza buat setiap individu namun saya berharap agar coretan pendek ini mampu memberi manfaat buat sesiapa yang membaca.

Pengalaman tinggal di Jepun merupakan antara salah satu pengalaman yang menarik untuk dikongsikan buat semua. Kita mulakan dengan solat. Apabila hidup di negara minoriti Islam, ianya sangat diakui bahawa agak sukar untuk kita sebagai seorang wanita Islam untuk menunaikan kewajipan kita sebagai seorang muslim dari segi solat, memandangkan kurangnya tempat-tempat solat dan wudhu disediakan berbanding negara Malaysia, namun itu bukanlah satu alasan yang kukuh untuk kita meremehkan serta meninggalkan kewajipan yang satu itu. Sebagai penyelesaian, kami sendiri sering membawa botol kosong kecil ke mana-mana saja kami pergi kerana tandas di jepun kebiasaannya menggunakan bidet atau tisu sahaja, dan agak sukar untuk kita mengambil wudhu di singki kerana bimbang akan membasahkan kawasan sekeliling singki itu dan itu bukanlah sesuatu yang digemari oleh masyarakat Jepun. Adalah satu tuntutan wajib buat kita untuk menutup aurat, dan sesungguhnya memakai pakaian yang menutup aurat serta bersih akan memudahkan kita sebagai wanita untuk menunaikan solat, kerana kebiasaannya kami akan solat di mana-mana sahaja kawasan yang bersih sebagai contoh di taman atau di tepi bangunan. Agak mencabar kerana kita perlu menjaga wudhu (mungkin sepanjang hari) jika mahukan kemudahan, pada mulanya agak sukar namun jika sudah menjadi kebiasaan, kita mampu melakukannya.

Kemudian, ayuh kita sentuh perihal makanan. Restoran halal di Jepun semakin bertambah terutama di bahagian-bahagian bandar dan itu merupakan satu kelebihan buat mereka yang tinggal di bahagian bandar, namun di sini jugak saya ingin menyatakan bahawa kemudahan untuk mencari makanan dan bahan masakan halal adalah amat mudah, dan secara peribadi saya sangat bersyukur atas kemudahan itu. Bahan-bahan basah boleh didapati dengan mudah, hanya dengan hujung jari (internet) dan bahan-bahan itu akan dihantar terus ke rumah. Mudah bukan? Ikuti perkembangan page-page Halal Japan di media sosial agar kita lebih peka akan sebarang pengumuman makanan-makanan yang halal mahupun haram di sini. Pilihlah makanan dengan sebaiknya kerana ianya akan menjadi darah daging kita dan sudah tentulah kita hanya mahukan makanan yang terbaik buat diri kita.

Hormati gaya hidup masyarakat Jepun, kita ambil perkara-perkara yang baik untuk dijadikan teladan, dan letak tepi perkara-perkara buruk sebagai sempadan. Terapkan keyakinan diri, bergaul dengan masyarakat Jepun, jaga diri jaga batas jaga agama, betulkan niat dan jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Jangan terlalu leka akan kebebasan yang dimiliki, jangan biarkan depresi menguasai diri, tetapkan azam yang kuat, dan jangan sembunyikan diri atau masalah secara peribadi, kerana apabila kita berada di negara asing, kekuatan mental dan iman adalah sangat penting demi memastikan kita mampu meneruskan azam kita sehingga ke akhirnya.

Categories: KAYA post