Penulis: Fazrul Zahir

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Umum diketahui bahawa negara Jepun sangat terkenal dengan pelbagai nilai positif hingga menjadi sebuah negara ‘role model’ kepada Malaysia melalui Dasar Pandang ke Timur. Namun begitu, tidak bermakna semua yang indah itu mudah. Terlalu banyak cabaran dan dugaan baru yang memerlukan persediaan rapi dalam pelbagai aspek sekiranya seseorang memasang impian untuk memilih Jepun sebagai tempat merantau lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar. Berikut merupakan beberapa tips persediaan yang agak penting untuk dikongsikan.

1.Persediaan Agama

Negara Jepun bukanlah sebuah negara Islam. Kalau di Malaysia , tak sampai beberapa kilometer memandu kereta pasti akan terserempak dengan masjid. Malaysia juga terkenal dengan logo halal JAKIM yang sangat dipercayai umat Islam di seluruh dunia. Antara bentuk cabaran yang bakal dilalui adalah seperti mencari tempat untuk solat, waktu kelas yang bertindih dengan waktu solat Jumaat, mendapatkan makanan yang halal, dan juga cabaran apabila ditanyakan mengenai Islam oleh orang-orang Jepun. Di Jepun lah pertama kali anda akan rasa solat di taman, bawah tangga, di belakang loker atau di mana sahaja tempat yang dirasakan sesuai. Kalau bab makanan pula sangat memerlukan penelitian terhadap kandungan bahan (tulisan-tulisan kanji).

Oleh yang demikian, sangatlah perlu untuk kita membekalkan diri dengan pengetahuan agama yang lengkap mengenai solat, halal dan haram dalam pemakanan, dan juga fiqh-fiqh luar negara. Banyakkan bertanya kepada yang lebih mengetahui untuk menambah keyakinan soal pemakanan.

Secara ringkas, jangan tinggal solat lima waktu walaupun anda tercampak ke tempat yang jauh daripada masyarakat Islam. Nasihat ini nampak mudah, tapi macam-macam perkara di luar jangkaan boleh berlaku. Kalau boleh sertailah mana-mana badan usrah kerana sekurang-kurangnya ada orang yang akan mengingatkan kita perkara-perkara soal kerohanian. Dapatkan juga nombor telefon ustaz atau ustazah yang faqih dalam fiqh luar negara yang boleh anda hubungi jika ada sebarang permasalahan agama. Jangan lupa juga sisipkan senaskhah al-Quran ke dalam beg sebagai teman.

2. Persediaan Mental

Orang Jepun bukanlah seperti orang Malaysia yang terkenal dengan sikap ramah, mesra dan mudah dibuat kawan. Namun begitu tak bermakna mereka jahat atau sombong. Kita cuma perlu meng’extrovet’kan diri kita lebih daripada biasa sekiranya hendak bergaul dengan mereka. Kadang-kadang ada antara kita yang malu untuk memulakan perbualan dan akhirnya kita rasa kita didiskriminasikan dan dipinggirkan daripada kelompok pelajar mereka sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya. Memang tak dapat dinafikan ada juga di sesetengah tempat yang berlaku diskriminasi terhadap pelajar luar negara bukan sahaja oleh pelajar bahkan termasuk juga oleh guru/pensyarah. Oleh yang demikian, sentiasalah berfikiran positif dan tunjukkan nilai-nilai yang baik kepada mereka. Moga-moga persepsi mereka berubah.

Tekanan dalam kehidupan seharian juga tak dapat dielakkan. Kelas atau subjek ada yang susah,jadual padat, serta pelbagai lagi. Ada juga kes ibu bapa meninggal dunia (minta dijauhkan)pada masa yang menyukarkan individu untuk pulang. Mental perlu kuat untuk menghadapi tekanan-tekanan dan cabaran seperti ini . Jangan pernah rasa sendirian jika anda terbeban. Selalulah menghubungi ibu-bapa di kampung bertanyakan khabar, saling mendoakan dan juga luangkan masa untuk bergaul dengan kawan-kawan terdekat. Di luar negara, kawan-kawan anda adalah keluarga anda. Jangan terperap di dalam bilik sahaja! Sebagai contoh mungkin ada yang cuba melupakan masalah dengan bermain permainan video dan akhirnya terus mengabaikan pelajaran, tanggungjawab agama dan bersikap anti sosial. Selalulah ingatkan diri sendiri matlamat sebenar keberadaan anda di Jepun dan jangan sesekali lari daripada masalah.

3.Persediaan Barang Keperluan

  • Pakaian

Jepun merupakan negara empat musim dan setiap musim ada fesyen pakaian yang berbeza. Dari segi pakaian, seeloknya bawa sedikit yang perlu sahaja kerana anda akan rambang mata untuk membeli pakaian baharu di Jepun. Kalau jaket dan baju sejuk bawa sepasang sahaja sudah memadai kerana harga baju sejuk di Malaysia agak mahal. Jangan lupa juga untuk bawa sepasang baju Melayu / baju Kurung untuk dipakai dalam majlis-majlis kebudayaan atau sambutan hari perayaan.

  • Makanan

Kenapa perlu bawa pakaian sedikit sahaja? Hal ini bagi membolehkan anda memenuhkan ruang bagasi dengan bekalan makanan yang secukupnya. Bawalah segala rempah ratus untuk masakan, mi segera, kicap dan sos cili. Kenapa sos cili? Kalau anda nak tahu di Jepun sangatlah susah untuk mendapatkan sos cili mungkin kerana cita rasa orang Jepun yang tak suka makan pedas. Begitu juga sambal untuk dibuat masakan pedas. Kalau tak pandai masak, tak perlu risau kerana anda akan terlibat dengan pelbagai eksperimentasi di dapur yang akhirnya menjadikan anda

seorang pro!

  • Ubat-ubatan

Ubat-ubatan di Jepun agak mahal. Sebaiknya bawa ubat-ubatan yang biasa seperti paracetamol, ubat batuk, minyak angin, minyak gamat dan sebagainya sebagai persediaan. Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?

  • Barangan lain

Selain itu, di Jepun telefon bimbit dijual secara pakej dengan kad sim. Oleh itu dinasihatkan untuk tidak membeli telefon pintar baru di Malaysia sebaliknya beli sahaja di Jepun seperti dari syarikat Softbank, Docomo dan sebagainya. Berbeza dengan komputer riba yang sebaiknya beli dari Malaysia kerana harga lebih murah. Jangan lupa juga untuk membawa plug penyesuaian perkakas elektrik untuk membolehkan penggunaan barang elektrik dari Malaysia di Jepun. Kesimpulannya, ini merupakan perkongsian cabaran dan tips persediaan ringkas berdasarkan pengalaman tinggal di Jepun dan situasi setempat. Diharapkan tips-tips tersebut dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar khususnya yang akan menjejakkan kaki ke bumi Sakura pada masa akan datang.

Categories: KAYA post