Penulis: Sayyidatul Akma (Kyushu University)

Tahun 2018, merupakan Ramadhan yang semestinya berbeza dalam hidup saya. Ini merupakan Ramadhan pertama tanpa keluarga disisi serta jauh daripada tanah air tercinta, sebagai seorang yang baru sahaja 3 bulan bergelar mahasiswa di perantauan, cabaran ketika berpuasa merupakan salah satu pengalaman yang saya teruja untuk miliki. Apatah lagi, berpuasa di negara yang majoritinya tidak menganut apa-apa agama, menambahkan lagi rasa ingin tahu bagaimana reaksi atau pandangan mereka tentang Ramadhan. 

Jangka waktu berpuasa di bumi Sakura ini kira-kira 16 jam yang mana Subuh seawal jam 230 pagi, manakala waktu Maghrib  pada jam 7 malam. Terkadang, sedang sibuk menelaah pelajaran, sehingga tidakk sedar sudah hampir waktu Subuh. Mujur tidak terlepas sahur, jika tidak, alamatnya berpuasa lah 24 jam.
Perkara yang paling saya rindu ketika berpuasa di Malaysia ialah tidak lain tidak bukan, suasana solat terawih di sana. Disebabkan jumlah umat Islam di negara matahari terbit ini boleh dikira dengan jari, suasana terawih juga tidak semeriah di negara ibunda. Berbeza dengan di sini, selepas terawih juga akan diadakan moreh di kebanyakan surau dan masjid di Malaysia. Pada waktu itu, hubungan erat antara umat Islam juga lebih mudah terjalin.   
Berpuasa di sini dari segi fizikalnya tidaklah terlalu mencabar kerana walaupun sedang menghampiri musim panas, suhunya tidaklah terlalu tinggi. Namun dari segi mental, setiap kali lalu-lalang di depan kafe universiti dan koperasi, adalah perkara biasa untuk menahan rasa lapar jika terhidu bau masakan yang enak. Selain  itu, jika terdapat kelas yang tamat lewat, terpaksalah berbuka dengan apa yang ada dalam tangan sahaja, seperti gula-gula atau coklat.
Namun begitu, keseronokan Ramadhan disini ialah, kami sentiasa mencuba menghasilkan menu yang berbeza setiap hari sebagai juadah berbuka.

Setakat ini pelbagai juadah yang telah kami rakan senegara masak bersama seperti ayam buttermilk, bihun sup, lauk ikan singgang,tomyam serta kuih seperti apam balik.  Tetapi, jika sudah tidak sempat, pilihan terakhir kami ialah berbuka di kafe universiti yang ada menjual menu halal. Selain itu, setiap hujung minggu juga akan diadakan jamuan berbuka  antara negara-negara Islam yang lain  seperti Indonesia dan Bangladesh. Pada waktu itu, kami semua berpeluang mengenal antara satu sama lain dan mencuba menu masakan daripada negara masing-masing juga. Negara Malaysia telah mengadakan jamuan ini pada minggu kedua puasa  dan kami telah menghidangkan sajian seperti nasi hujan panas, ayam masak merah, serta hidangan potluck yang dibawa seperti chocolate brownies, papadom, puding karamel dan apam balik.
Sahur disini sama sahaja seperti menu di Malaysia, jika ada makanan lebih ketika berbuka, ataupun makanan yg mudah dihidang seperti bijirin ataupun roti. Satu sahaja perkara yang berbeza pada saya, jika sebelum ini  suara kakak, mak dan abah yang mengejutkan saya untuk bersahur, sekarang hanya bunyi jam penggera dan suara kawan-kawan menjadi pengganti.


Satu lagi perkara yang dirindui ketika berpuasa di Malaysia ialah bazar di sana. Di Jepun, bukan sahaja bazar, malah pasar malam juga tiada. Oleh kerana merindukan suasana bazar di Malaysia, saya sering mencari menu kuih-muih yang sesuai untuk berbuka di media sosial terutamanya Facebook dan seterusnya jika bahan-bahan yang diperlukan boleh diubahsuai atau boleh didapati di Jepun, saya akan mencuba resipi tersebut.
Seperti orang lain, masakan ibu merupakan masakan yang tiada tolok bandingnya. Oleh itu, untuk memilih hanya satu masakan yang saya rindui itu adalah amat mustahil. Akan tetapi,  membantu ibu memasak juadah berbuka merupakan momen-momen yang tidak akan dapat saya lupakan dan akan dirindui sepanjang masa.

Categories: KAYA post