Penulis: Afiqe Anuar (Muroran Institute of Technology)

                Sebagai sebuah Negara pulau, Jepun sering terasing dari influansi negera-negara luar dan lebih menitik beratkan adat dan tradisi sendiri. Ini membuatkan mereka kadangkala sukar untuk menerima perubahan globalisasi dan dan benda yang asing dengan mereka. Disebabkan itu, mungkin ramai yang tertanya bagaimana penerimaan mereka terhadap foreigner yang datang ke negara mereka untuk mencari kehidupan baru. Maka, disini saya kongsikan pengalaman saya di sana untuk bacaan bersama.

              Antara perkara pertama yang perlu diuruskan setibanya di Jepun adalah membuat akaun bank bagi urusan elaun. Pada mulanya saya tidak mengendahkan apabila diberitahu yang akaun bank saya akan diaktifkan selepas 1 minggu dan buku bank akan terus diposkan ke rumah dalam tempoh tersebut. Tetapi, apabila rakan saya yang lain siap urusan mereka dan menerima buku bank mereka pada hari yang sama, ia menjadi satu perkara anih mengapa akaun bank saya tidak boleh diaktifkan bersama-sama mereka. Berbekalkan ilmu bahasa jepun yang masih kucar-kacir dan kecekalan di hati, saya tekankan perkara ini kepada pihak bank. Mungkin hasil dari desakan kami atau ketidak mahuan kerani itu mendengar bahasa Jepun mereka dihancurkan oleh makhluk asing dari Malaysia ini, kerani itu akhirnya membawa keluar sebuah buku protokol besar berwarna biru.  Diselaknya buku itu ke bahagian bahasa Inggeris  dan ditunjukkkan kepada kami. Biasalah, buku protokol penuh dengan perkataan yang berbelit-belit, tetapi beberapa perkataan sempat saya fahamkan; “suspected terrorists” dan “background check”. Aduhai….. menggeleng-geleng lah saya dihadapan kaunter itu berlatar belakangkan gelak tawa rakan yang lain. “Kami bukan nak kata Encik ni ……, tapi kami hanya ikut protokol sahaja….”,  bersungguh-sungguh kerani itu cuba untuk menjelaskan dengan sopan tanpa menyinggung perasaan saya. Memang betul lah apa yang orang lain katakan tentang Customer Service di Jepun. Kerani itu melayan kami dengan baik tanpa pernah lekang senyuman di muka. Mungkin ini satu-satunya insiden dimana saya tidak terasa hati disuspect sebagai terrorist. Lagipun, protokol ini juga berkemungkinan besar dipakai oleh negara-negara lain.

                Selain itu, perkara yang ramai telah umum ketahui ialah masyarakat Jepun sangat pemalu dengan orang luar dan sering dikatakan selalu “takut” atau “mengelak diri” dari foreigner. Tetapi hal ini sebenarnya bukanlah tertumpu pada foreigner sahaja. Mereka juga akan sering menjauhkan diri dari orang yang mereka tidak kenal dan ramai antara mereka lebih suka menyendiri daripada bergaul. Kesimpulannya, masyarakat Jepun boleh dikatakan mempunya lebih ramai introverts. Tambahan lagi, “aura” seorang foreigner itu mungkin lebih kuat dan lebih overwhelming berbanding dengan biasa, menyebabkan ramai yang akan mengelak diri dari bergaul atau mendekati foreigner. Kebiasaanya, kita akan rasa terasing kerana tiada siapa yang akan duduk bersebalahan kita di kelas mahupun di pengangkutan awam seperti bas atau kereta api.

                Kejadian yang paling tidak bokeh dilupakan ialah semasa menaiki lif di pasaraya Don Quijote. Setelah puas membeli-belah di pasaraya tersebut bersam 3 orang rakan Malaysia lain, kami terus menaiki lif untuk ke parkir bumbung. Saya sebagai orang terakhir menaiki lif, berdiri betul-betul dihadapan pintu. Satu tingkat lagi sebelum sampai ke parkir bumbung, lif berhenti dan pintunya terbuka menandakan ada orang yang ingin masuk. Maka saya pun berpaling menghadap ke arah pintu lif, dan disitu kelihatan dua orang wanita Jepun dengan muka yang terkejut (mungkin setelah melihat muka saya), lalu mereka berdua terus bergegas ke arah tangga sebelum saya sempat berganjak untuk memberikan ruang kepada mereka. Sambil saya terkaku dihadapan pintu lif yang mula tutup dengan perlahan, gelak ketawa dan sindiran mula kedengaran di antara rakan yang lain melihatkan reaksi tersebut. Saya faham dua orang wanita itu tidak boleh dipersalahkan, bahkan saya juga mungkin akan berasa takut dan lari jika tiba-tiba terserempak dengan satu makhluk anih berbadan besar dan berjambang lebat. Tapi…. cover lah sikit…. Bagaimana saya tahu mereka lari dari lif dan pergi ke kereta melalui tangga? Kerana kebetulan kereta mereka parkir berhadapan dengan kereta saya. Jadi anda boleh bayangkan sendiri apa jadi bila kami terserempak lagi. Kah kah kah…. Padan mukalah kau wahai dua wanita Jepun yang tak dikenali… terpaksa bersemuka dengan makhluk berjambang ini lagi.

                Di sini bukanlah saya hendak katakan orang Jepun semuanya akan lari dari foreigner. Bahkan ramai antara mereka sebenarnya yang akan lebih berasa curious dengan foreigner. Terutama sekali jika kita nampak lebih berbeza berbanding orang lain, seperti muka dipenuhi jambang atau berjanggut. “Aura” foreigner yang melimpah-ruah itu akan lebih menarik perhatian ramai, walau kebanyakan mereka hanya memerhati dari jauh dan takut untuk datang bergaul. Antara sebab utamanya ialah mereka takut kita tidak boleh bercakap dalam bahasa Jepun, kerana mereka sendiri sedar bahasa Jepun itu susah dan hanya banyak diguna pakai di Jepun sahaja. Tambahan pula kebanyakan dari mereka tidak fasih berbahasa Inggeris, menyebabkan mereka tiada keyakinan untuk memulakan pergaulan dengan foreigner. Maka, jika ingin bersembang dengan orang Jepun, kita sendiri perlu memulakan perbualan untuk menunjukkan yang kita boleh bercakap dan bergaul dalam bahasa Jepun. Lebih-lebih lagi dengan pakcik-pakcik atau makcik-makcik di sana. Ada antara mereka yang suka bersembang jika level Jepun kita setaraf mereka. Ada juga antara mereka yang akan mula bertegur sapa dengan kita, atau yang terjadi kepada saya; seorang pakcik Jepun datang secara tiba-tiba dan terus membelai janggut saya tanpa berkata apa-apa. Mungkin dia ingin break the ice tetapi tidak tahu bagaimana cara yang sesuai, atau rasa ingin tahu yang membuak-buak telah menguasai badannyan, saya pun tidak tahu. Tetapi setakat ini hanya seorang sahaja yang datang membelai janggut saya dengan tiba-tiba. Jadi, kemungkinan besar tiada individu lain yang akan cuba perkara sedemikian, tetapi tidak bermakna ia tidak akan berlaku pada anda.

                Apa yang boleh saya simpulkan, masyarakat Jepun, walau ramai yang akan menjauhkan diri dari foreigner, kebanyakan mereka lebih berasa curious tetapi tidak mempunyai keyakinan diri untuk bergaul dengan orang luar. Maka kita sendiri perlu memulakan pergaulan dan tunjukkan kita boleh bergaul dalam bahasa Jepun. Jika anda disyaki sebagai terrorist, itu semua hanyalah protokol semata-mata. Tidak kisah lah anda berkulit hitam, berkulit putih, Islam, Kristian, berjanggut atau tidak, jika anda datang dari Malaysia, Arab mahupun Eropah, bagi masyarakat Jepun, semua orang luar adalah sama “foreigner”.

Categories: KAYA post