Penulis: Faiqa Athirah (Tokyo Kouka University)

Kalau korang  Penuntut Universiti di Jepun, sangatlah rugi jika anda tidak mengambil peluang ini untuk merasai pengalaman bekerja sambilan di negara Matahari terbit ini.  Saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman saya sepanjang melakukan kerja sambilan di Jepun setelah lebih kurang hampir setahun tinggal di Jepun. Antara kerja sambilan yang saya pernah lakukan adalah pengira stok barang, Urusetia program, Guru Bahasa Melayu, dan pekerja kedai baju (GU).

Tetapi sebelum itu, saya ingin menceritakan prosedur  mendapatkan kerja sambilan di Jepun. Pertama sekali adalah anda hendaklah mencari kerja sambilan yang dikehendaki dan mengahantar permohonan. Permohonan kerja sambilan boleh dibuat melalui aplikasi telefon.Terdapat pelbagai aplikasi telefon yang dikhaskan untuk mencari kerja sambilan yang tersedia di sini. Antara contoh-contoh aplikasi tersebut adalah Baitoru, Town Work, Mainabi Baito, dan banyak lagi. Melalui aplikasi ini ,anda boleh menetapkan ciri-ciri kerja sambilan yang anda mahu seperti jenis pekerjaan, Gaji per jam, boleh bekerja berapa hari dalam seminggu, Kawasan tempat kerja, dan aplikasi ini akan mencadangkan kerja sambilan yang bersesuian dengan citarasa anda! Mudah kan ?

Tapi tidak semudah itu sebenarnya kerana prosedur seterusnya yang anda perlu lalui adalah proses temuduga. Kebiasaanya semasa temuduga, anda perlu menyediakan resume. Tetapi usah risau, kerana resume tersebut ada dijual di mana-mana Convenient store seperti seven eleven dan 100 yen shop ,jadi anda tidak perlu buang masa menaip resume sendiri. Anda juga hendaklah bersedia dengan sebaik mungkin untuk menghadapi temuduga tersebut dan menunjukkan semangat dan pontensi anda supaya mereka yakin untuk mengambil anda sebagai pekerja.

Dan bagi pelajar perempuan yang bertudung, berdasarkan pengalaman saya sendiri, hanya sebahagian sahaja kerja sambilan yang menerima pekerja yang bertudung. Saya beberapa kali pernah ditolak semasa temu duga kerana saya bertudung dan pekerjaan tersebut memerlukan pekerjanya untuk mengenakan uniform seragam dan anda dikehendaki menanggalkan tudung. Tetapi anda tidak perlu risau kerana Syarikat Pakaian seperti Uniqlo , GU , dan GAP tidak mempersoalkan penampilan bertudung atau tidak dan telah ramai pelajar Malaysia yang pernah bekerja sambilan di sana. Jadi bolehla mencuba nasib nanti.

Selain daripada mencari kerja sambilan melalui aplikasi telefon, satu lagi method yang lebih efektif  adalah, melalui rekomendasi senior-senior anda. Kebiasaanya , melalui rekomendasi senior, anda tidak perlu melalui proses temu duga tetapi sebaliknya anda akan  terus di ‘hire’ oleh tempat tersebut . Sebagai contoh, adalah diri saya sendiri  semasa saya bekerja sebagai pengira stok barang , Cikgu Bahasa Melayu, dan urusetia program , kesemuanya adalah hasil daripada rekomendasi senior-senior saya.

Jadi nasihat saya untuk adik-adik kouhai, untuk memastikan kecerahan peluang  anda mendapat sesuatu kerja sambilan, sebelum mencarinya sendiri melalui aplikasi telefon, sangat disyorkan bertanya dahulu  kepada senior-senior anda tentang kerja sambilan yang boleh dilakukan disekitar tempat tinggal anda . Jika kerja tersebut tidak bersesuaian dengan hati anda, barulah gunakan aplikasi yang saya sebut kan tadi untuk mencari kerja sambilan yang lebih berkenan di hati .

 Kerja mengira stok barang yang saya sebutkan sebelum ini adalah di bawah satu syarikat yang bernama AJIS(エイジスト) dan untuk pengetahuan para pembaca sekalian kerja sambilan Ajis ini adalah antara kerja sambilan yang popular dikalangan pelajar-pelajar Malaysia di Jepun. Cuba kouhai-kouhai sekalian tanya senpai anda semua tentang pekerjaan AJIS ini. Saya yakin mana-mana senpai pun akan familiar dengan pekerjaan ini. Ini kerana, syarikat AJIS adalah syarikat yang memerlukan pekerja yang ramai dan mereka tidak mengenakan syarat yang ketat dalam memilih pekerja, dan hal ini juga memudahkan pelajar-pelajar perempuan yang bertudung untuk mendapat kerja ini.

Kerja mengira stok dibawah AJIS juga tidak susah,anda akan diajar menggunakan mesin khas untuk mengira stok barang . Meskipun begitu, kerja ini memerlukan anda mengorbankan masa tidur anda kerana kerja ini dijalankan dari sepanjang waktu malam hingga ke pagi (8.00 PM hingga 6:00 pagi). Pada awalnya, semasa senior-senior saya mempromosikan kerja ini kepada kami semasa baru sampai di Jepun, saya langsung tidak berminat kerana saya seorang tidak boleh tidak tidur malam dan saya tidak sanggup korbankan masa tidur untuk bekerja. Oleh itu , saya berusaha sendiri mencari pekerjaan sendiri melalui aplikasi telefon. Tetapi selepas 10 kali ke temuduga saya masih tidak lulus mana mana temuduga dan gagal memperoleh pekerjaan.

Oleh itu akhirnya saya putus asa mencari kerja sendiri kerana rupanya ia tidak semudah yang saya sangka.Saya pun mengambil keputusan untuk menerima sahaja kerja AJIS yang dipromosi oleh senior saya. Tetapi saya tidak bertahan lama kerana saya sejenis manusia yang memerlukan tidur yang cukup dan badan saya terlalu lemah untuk bekerja malam ke siang. Lebih kurang selepas 2 bulan bekerja sambilan AJIS, 1-3 kali seminggu saya pun memutuskan untuk mencari kerja lain yang tidak memerlukan saya mengorbankan tidur malam .

Kali ini saya cuma fokus dalam mencari kerja di kedai-kedai baju yang terkenal, seperti Uniqlo, GAP dan GU.Setelah banyak kali mencuba akhirnya saya berjaya melepasi temuduga dan mula bekerja di kedai baju GU. Dan bagi saya bekerja di kedai baju jauh lebih menyeronokkan kerana saya dapat mengasah lagi kemahiran berkomunikasi dan dapat membantu memperbaiki kemahiran bahasa Jepun saya. Selain itu, saya mendapat ramai kawan orang Jepun sepanjang bekerja di sana, dan dapat berkongsi cerita dan buah fikiran dengan mereka.

Pada masa itu juga seorang senior saya juga mempromosi kerja sebagai Cikgu Bahasa Melayu sambilan kepada kami. Saya tidak melepaskan peluang dan terus menghadirkan diri ke temuduga dan saya mendapat perkerjaan itu dengan mudah kerana tempat itu sangat kekurangan tenaga pengajar Bahasa Melayu. Tetapi pekerjaan ini tidakla susah kerana satu kali seisi pembelajaran hanyala 1 jam sahaja dan hari pembelajaran boleh dirunding bersama pelajar anda. Bekerja sebagai Guru Bahasa Melayu sangat menyeronokkan dan selain daripada dapat mengajar saya juga kerap belajar bahasa Jepun dari pelajar saya.

Sebelum saya lupa, oleh kerana kita datang ke Jepun di bawah visa pelajar, anda perlu mendapatkan cop kebenaran melakukan aktiviti kerja sambilan pada zairyuu Card (resident Card) anda. Cop ini sangat-sangat penting , dan anda boleh memohon cop ini di pejabat imigrasi terdekat dengan tempat tinggal anda.Bagi pelajar asing seperti kita, terdapat had masa bekerja iaitu tidak melebihi 8 jam untuk sehari, dan tidak melebihi 28 jam seminggu. Jika anda tidak mempunyai cop kebenaran ini, tidak ada majikan yang akan mengambil anda bekerja sambilan. Dalam situasi saya yang mempunyai dua kerja sambilan ini, saya hendaklah memastikan saya  tidak bekerja melebihi had masa yang ditetapkan ini.

Begitulah sedikit sebanyak pengalaman saya bekerja sambilan di Jepun. Nasihat saya kepasa adik-adik, kalau ingin bekerja sambilan, pertama sekali , tanya dahulu senior-senior kawasan anda tentang kerja sambilan yang anda boleh lakukan di sekitar anda. Jika pekerjaan itu tidak sesuai dengan anda, carila sendiri melalui aplikasi telefon dan pastikan pekerjaan tersebut diyakini halal disisi islam, tidak melibatkan arak,judi, dan benda-benda haram yang lain. Bagi yang ingin mengasah kemahiran soft skill dan komunikasi sangat digalakkan bekerja di menggalakkan untuk bekerja di kedai pakaian seperti Uniqlo, GU dan GAP bagi memantapkan lagi kemahiran Bahasa Jepun, dan dapat merasai budaya kerja Jepun dengan lebih dekat.

Selain itu, jika anda gagal banyak kali dalam temuduga jangan berputus asa untuk mencuba kerana saya juga berjaya mendapatkan kerja smabilan selepas lebih 10 kali ditolak semasa temuduga. Akhir kata, pandai-pandai bahagikan masa antara kerja sambilan dan pelajaran. Jangan terlalu obses mengejar duit sehingga  menyebabkan anda ponteng kelas, atau tidak siapkan kerja rumah atau mengganggu prestasi anda dalam pelajaran. Sejujurnya, gaji bekerja sambilan di Jepun agak lumayan, dan kadangkala akan membuatkan anda terasa ingin bekerja dengan lebih kerap . Tetapi kita hendaklah sentiasa ingat tujuan utama kita ke Jepun adalah untuk belajar .

Terima kasih!

Categories: KAYA post