Penulis: Nurin Izzati (Kyushu Institute of Technology)

Saya merupakan seorang pelajar yang sedang menuntut di salah sebuah universiti awam di pulau Kyushu. Universiti tersebut merupakan sebuah universiti teknikal(technical insitute) di mana lebih kurang 87% pelajarnya adalah lelaki. Di jabatan saya, daripada 125 pelajar, hanya 10 orang pelajar perempuan termasuk saya dan seorang teman Malaysia saya.  Semasa pemilihan universiti di Malaysia pada pertengahan bulan 6 tahun 2018, saya mengambil keputusan untuk belajar di pulau Kyushu kerana kos sara hidup yang jauh lebih murah berbanding di bandar utama dan persekitaran yang tenang dan tidak terlalu sibuk seperti di Tokyo.

Bermula dari tahun 2019, MJHEP telah mengambil keputusan untuk tidak lagi menghantar pelajar ke universiti saya kerana silibus pembelajaran di universiti saya telah mengalami pembaharuan dan silibus terbaharunya sudah lagi tidak sama dengan silibus yang dipelajari di MJHEP. Saya merupakan antara pelajar MJHEP terakhir yang dihantar di universiti saya. Buat masa ini, pelajar Malaysia di universiti saya hanya tinggal 3 orang dan bermula dari semester hadapan hanya saya seorang sahaja pelajar Malaysia yang akan berada di universiti ini.

Belajar di Jepun ini ada banyak pengalaman pahit dan pengalaman manisnya namun sebagai seorang yang sentiasa berfikiran positif dan sentiasa suka cuba melakukan perkara yang baru, kesusahan belajar di Jepun menjadi lebih seronok dan bermakna. Pada tahun pertama pengajian saya di Jepun sebagai pelajar peralihan(transfer student), saya telah menyertai kelab programming yang dinamakan Stairs. Saya menyertai kelab tersebut selepas mengetahuinya daripada senior saya yang berbangsa Jepun dan dia menawarkan saya untuk menyertai kelab tersebut memandangkan dia adalah pengerusi kelab tersebut. Saya menyertai kelab itu daripada bulan 4 tahun 2019 sehingga bulan 11 tahun 2019 kerana pada bulan 11 tahun tersebut, kelab itu telah dibubarkan untuk selama-lamanya.

Semasa menyertai kelab tersebut, saya sangat seronok kerana saya dapat mempelajari banyak ilmu yang baru dan di situ juga saya mula mempelajari web programming menerusi Ruby on Rails dan seterusnya saya juga mula mempelajari cara membuat aplikasi telefon pintar menerusi Swift. Semasa berada di Malaysia, saya kurang menggemari subjek programming namun kelab yang saya sertai itu merupakan kelab yang akan mengajar ahli barunya programming daripada awal maka saya mengambil keputusan untuk cuba menyertai kelab tersebut walaupun hanya saya seorang sahaja yang bukan berbangsa jepun.

Menerusi kelab itu juga saya berpeluang menyertai pertandingan Challecara iaitu sebuah pertandingan yang dianjurkan untuk pelajar yang sedang menuntut di universiti atau sekolah tinggi di wilayah Fukuoka. Setiap bulan, peserta-peserta pertandingan itu akan berkumpul sekali di Hakata iaitu bandar utama di Kyushu dan di situ kami semua berpeluang untuk berinteraksi dengan fasilitator mengenai aplikasi yang kami ingin bina. Fasilitator terdiri daripada freelance programmer, programmer yang bekerja di syarikat, jurutera dan sebagainya. Menerusi perjumpaan sebulan sekali di Hakata, pelajar dapat bertukar idea mengenai masalah yang dihadapi semasa membuat programming, menambahbaik aplikasi yang sedia ada menerusi perbincangan bersama fasilitator dan belajar sesuatu yang baru menerusi penyampaian daripada kumpulan-kumpulan lain.

Saya menyertai pertandingan itu selama lebih kurang 6 bulan dan dalam masa 6 bulan itu, saya mempelajari mengenai framework, cara menggunakan database, dan sebagainya. Semasa mempelajari cara membuat website, saya menyedari bahawa sesungguhnya untuk membuat satu website yang cantik, selamat dan menarik adalah tidak semudah yang disangka. Sebelum saya menyertai pertandingan ini, saya hanyalah seorang pengguna website dan tidak terlalu memikirkan apa yang berlaku disebalik website tersebut namun setelah saya menyertai pertandingan tersebut, saya menyedari bahawa untuk membina satu website, ada banyak sekali perkara yang berlaku disebaliknya dan ianya rumit.

Kami tidak memenangi pertandingan tersebut kerana terdapat banyak kumpulan yang sangat kreatif dan menghasilkan aplikasi yang jauh lebih hebat daripada kami. Ada kumpulan yang menggunakan Aritificial Intelligence(AI) untuk memadankan baju sedia ada untuk menghasilkan padanan baju yang baru, ada kumpulan yang menggunakan teknologi Augmented Reality(AR) untuk menghasilkan peneman hidup alam maya untuk individu yang hidup seorang dan ada kumpulan yang menggunakan teknologi Blockchain untuk menguruskan akaun servis yang telah dilanggan secara peribadi seperti Amazon Prime, Netflix dan sebagainya dengan lebih baik.         

Kesimpulannya, walaupun saya tidak memenangi pertandingan tersebut, namun pengalaman yang telah saya perolehi menerusi penyertaan pertandingan itu sangat bermakna dan tidak akan saya lupakan. Menerusi pertandingan tersebut, saya menyedari minat saya terhadap bidang komputer sains dan saya menyedari bahawa dengan kemahiran programming, kita mampu melakukan banyak perkara di luar daripada jangkaan kita. Selain itu, saya juga menyedari bahawa rakyat Jepun mampu menghasilkan ciptaan yang hebat kerana mereka sangat mendukung anak-anak mudanya untuk mencipta sejak daripada bangku sekolah dengan menyediakan platform untuk anak-anak muda mereka untuk merealisasikan dan mempamerkan ciptaan mereka. Akhir sekali, saya percaya masa depan negara akan lebih cerah jika lebih ramai anak mudanya diberi peluang dan platform untuk berkarya dan mencipta.     

Categories: KAYA post