Penulis: Muhammad Fitri Ajwad (Tokyo Kouka University)

Umum mengetahui bahawa negara Jepun merupakan negara empat musim iaitu musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk. Jepun jelas mempunyai empat musim kerana kawasannya yang dikatakan berada di latitud pertengahan bumi yang mana perubahan jisim udara adalah tinggi. Oleh hal demikian, bagi sesetengah penduduk Jepun, mereka sangat tidak menggemari cuaca musim sejuk yang tiba pada bulan Disember hingga Februari setiap tahun. Hal ini kerana pada musim sejuk kebiasaannya kulit akan jelas kelihatan kering serta menyukarkan aktiviti harian. Namun begitu, pada mereka yang sangat menyukai cuaca musim sejuk, sudah semestinya mereka akan menantikan aktiviti wajib tahunan iaitu bermain papan luncur salji atau lebih dikenali sebagaiスノボー(snowboard) di sini.

Aktiviti papan luncur salji di sini selalunya dilakukan di kawasan pergunungan yang mempunyai lapisan salji yang tebal. Hal ini sudah semestinya bagi memudahkan para peluncur untuk meluncur dari atas ke bawah kaki pergunungan dengan pantas dan juga mencabar. Selain itu, lapisan salji yang tebal juga mampu mengurangkan kesakitan kepada para peluncur seandainya mereka terjatuh atau tergelincir sewaktu bermain.

Antara kawasan yang terkenal di Jepun bagi penggemar aktiviti papan luncur salji sudah semestinya di kawasan Nagano. Hal ini kerana, persekitaran di Nagano yang boleh dikatakan dikelilingi kawasan pergunungan dan juga faktor cuaca salji yang lebat sepanjang musim sejuk di Jepun. Malahan, Nagano juga terkenal kerana aktiviti sukan olimpik musim sejuk (Olympic Winter Games) yang pernah dianjurkan pada tahun 1998. Sudah semestinya bagi sesiapa yang pernah mengunjungi ke kawasan meluncur di Nagano, mereka pasti akan tertarik dengan kecantikan kawasan pergunungan salji yang sangat indah.

Bagi pengalaman saya sendiri, saya sudah menjejakkan kaki di tiga buah kawasan meluncur salji yang berbeza. Yang pertama, Kagura Snow Resorts yang berdekatan dengan kawasan Niigata. Di sini tempat saya pertama kali mencuba aktiviti mencabar papan luncur salji ini. Saya dan kawan-kawan bertolak ke sana seramai 12 orang dengan dua buah kenderaan yang mengambil masa selama tiga atau empat jam dari tempat tinggal kami iaitu Hachioji. Pada waktu itu, kebanyakan antara kami belum pernah lagi mencuba aktiviti papan luncur salji ini. Jadi, dengan keadaan cuaca ribut salji yang sangat lebat, kami memulakan aktiviti kami dengan bermain di bahagian bawah untuk memanaskan badan sebelum menaiki chair lift untuk ke kawasan atas bukit.

Saya juga sudah bermain di Fujiten Snow Resort yang berdekatan kawasan kaki pergunungan Gunung Fuji. Saya mengambil masa selama satu hari untuk memahirkan diri sendiri bemain papan luncur salji ini. Bagi pendapat saya, pemandangan di Fujiten Snow Resort tidaklah seteruk seperti dihebohkan. Kita dapat melihat pemandangan Gunung Fuji yang begitu jelas sewaktu bermain. Selain itu, ada juga khabar angin yang mengatakan kawasan meluncur di sana menggunakan salji tiruan atau ‘man-made snow’ yang menyebabkan kawasan salji itu tidak selembut seperti di kawasan meluncur lain. Namun begitu, saya sendiri tidak pasti dengan tahap kesahihan khabar angin tersebut. Tetapi, bagi pendapat saya, Fujiten Snow Resort sangatlah sesuai bagi sesiapa yang pertama kali ingin mencuba papan luncur salji. Hal ini kerana, di sana terdapat course yang pendek untuk sesiapa yang ingin belajar meluncur iaitu, beginner course. Tambahan pula, keadaaan cuaca di persekitaran kawasan yang jarang mengalami ribut salji juga merupakan salah satu faktor utama mengapa kawasan tersebut sesuai bagi beginner aktiviti ini.

Seterusnya, saya akui tempat tumpuan kawasan meluncur yang paling cantik saya pernah pergi adalah di Ryuoo Ski Park, Nagano. Sudah semestinya kawasan di sini dikelilingi dengan pergunungan salji yang indah. Saya dan beberapa orang rakan pergi ke tempat tersebut dengan mengambil pakej percutian tiga hari dua malam melalui sebuah agensi pelancongan di Jepun. Tambahan itu, kami juga menerima potongan harga kerana kempen melancong yang dianjurkan oleh pihak kerajaan Jepun pada ketika itu. Oleh hal demikian, kami dapat menjimatkan hampir separuh kos perbelanjaan kami untuk bercuti di sana. Perjalanan yang mengambil masa hampir tujuh jam dengan menaiki bas pelancong dari Shinjuku, Tokyo untuk ke sana amatlah memenatkan. Tempat penginapan yang disediakan sangat selesa dengan bilik hotel yang sangat luas. Selain itu, kami semua berpuas hati dengan hidangan makanan yang disediakan. Pihak hotel menyajikan makanan secara bufet, bermaksud kami dibenarkan mengambil sebanyak mana makanan yang kami mahu. Malahan, banyak makanan seafood juga tersedia sebagai tambahan protein untuk kami selepas meluncur. Melalui pakej yang diambil melalui agensi pelancongan ini, banyak kelengkapan sudah termasuk dalam pakej ini seperti pakaian dan peralatan untuk meluncur. Jadi, bagi kami yang tidak mempunyai peralatan papan luncur salji ini, kami amatlah berpuas hati kerana semuanya sudah disediakan olah pihak hotel.

Bagi sesiapa yang ingin pergi ke Ryuoo Ski Park, saya menggalakkan anda menaiki gondola untuk ke puncak kawasan meluncur tersebut. Hal ini kerana, anda akan dapat menyaksikan salah satu permandangan ciptaan Tuhan yang begitu cantik dari atas kawasan pergunungan salji. Bayangkan anda dapat melihat keindahan ciptaan Tuhan ini bersama sama rakan rakan dan orang tersayang, pasti dapat merasakan salah satu nikmat ketenangan dalam diri sendiri. Boleh dikatakan kesemua tekanan yang kita hadapai sewaktu kerja mahupun belajar, akan terus hilang dengan hanya melihat keindahan permandangan ciptaan Tuhan.

Akhir kata daripada saya, gunalah masa anda sewaktu berada di Jepun dengan melancong ke tempat tempat menarik dan juga cuba mempelajari aktiviti aktiviti baharu untuk diri kita. Selain itu, jadikanlah aktiviti melancong ini sebagai salah satu ruang untuk diri sendiri melepaskan tekanan daripada belajar dan kerja. Terima kasih kerana sudi membaca ruangan ini! Assalamualaikum.

Categories: KAYA post