Name :  Abdul Nasir bin Abd Ghafar
Title :  Nasionalisme : Perjuangannya Bermula di Sini

SUMMARY

Nasionalisme, suatu isu berat yang mungkin bukan isu popular rakyat Malaysia. Ironinya, nasionalisme menjadi nadi perjuangan pembebasan negara dan bangsa yang dijajah sejak berkurun lama. Karangan penulis mengupas kembali nasionalisme dari segi istilah dan bahasa, agar berlaku pencerahan total akan isu sebegini. Tidak hanya bertumpu di Malaysia, penulis terlebih dahulu membawa pembaca memahami, menyelusuri sedikit sebanyak isu nasionalisme dari kaca mata dunia yang terdiri daripada berhaluan kanan dan kiri.Setelah itu, penulis membawa para pembaca mengimbau kembali kebangkitan nasionalisme tanah air yang berpunca dari suatu siri penjajahan. Penjajahan yang mulanya meragut kebebasan,kedaulatan dan hak rakyat jelata namun pada penghujungnya membangkitkan bibit perjuangan dan kefahaman akan kecintaan pada tanah air tercinta.Penulis juga membawakan suatu isu kritikal yang dekat dengan diri penulis,iaitu dilema Islam dan Nasionalisme.Apakah pandangan bijak pandai dalam isu ini?Nasionalisme bagaimanakah yang menjadi anjuran yang tidak menyimpang?Segalanya dikupas bagi merungkaikan seluruh salah faham masyarakat majority Malaysia. Selanjutnya, penulis cuba membawa pembawa akan kesedaran penjajahan era moden yang mampu meranapkan kestabilan dan keharmonian negara, dimana tanpa kefahaman nasionalisme sebenar, anasir-anasir sebegini mampu menjajah negara dan rakyat tanpa perlukan sebarang pendudukan wilayah dan hajat imperialism.

    Dipenghujung isu ini,penulis cuba memacu arah nasionalisme yang diperlukan masa kini, dengan mengguna pakai seluruh kekuatan,idea serta pembaharuan yang bakal terlaksana.Akhirnya, pembaca ditekankan akan amanah dan tanggungjawab yang sedia ada dan apakah peranan setiap jiwa yang cintakan negaranya.

ESSAY

Prakata

Melewati susur galur jatuh bangunnya sebuah negara,perit jerih sang pejuang buat pertiwinya, memoir utuh ini seakan cuma hikayat penglipurlara buat anak-anak muda. Diulang ceritanya dalam hamparan nota dan bualan sekadar penyedap halwa telinga. Natijahnya lahir generasi kaku yang cuma bijak menyantap kenyang arus pemodenan teknologi dunia namun buta mata celik dan mata hatinya akan hakikat perjuangan membangunkan sebuah entiti negara dan bangsa. Bagai anak kecil yang tidak diajar bertatih,seusai tuanya terpaksa berjalan. Begitulah gambaran tragedi buruk yang bakal menimpa masyarakat khususnya anak muda yang sudah tiba masanya memimpin negara,bahkan dunia,namun fikrahnya kosong, waima wujud sekalipun tetapi bercelaru. Kini,lahir pejuang-pejuang negara dalam segenap gelanggang dan arena,muncul mereka dengan idea perjuangan bertunjangkan nasionalisme. Kesedaran untuk berjuang membebaskan negara dari keperitan menuju pembangunan,kecelaruan menuju keamanan dan perpecahan menuju perpaduan merupakan suatu rahmat bagi Malaysia,negara sekangkang kera yang dahulunya tempat pelabuhan sang penjajah meratah seluruh hasil kekayaan, lalu dengan semangat nasionalisme maka terlerailah panji-panji kekuasaan tirani yang memenjarakan kita selama hampir 5 abad. Ironiknya,ideologi dan semangat nasionalisme perlu dipandu dan diperkukuhkan dalam acuan glokal,tanpa ada sentimen-sentimen luar yang senantiasa menyusup masuk bagi memecahbelahkan suatu entiti yang telah berjaya dibentuk selama 55 tahun.

            Mari kita melihat sejenak sejarah nasionalisme yang tercatat di hamparan sejarah dunia, adakah ianya suatu kronologi idealistik yang berjaya,ataupun sekadar retorik yang dilambak bagi mengelirukan masyarat dunia.

Nasionalisme : Pelbagai Biasan Kaca Mata Dunia

Isu Nasionalisme dikupas secara mendalam oleh tokoh-tokoh terkenal dunia, sama ada yang berhaluan kanan mahupun sebaliknya. Hakikat yang tersirna ialah, individu mahupun organisasi yang berbeza ideologi menyedari akan kepentingan nasionalisme sebagai suatu entiti ketamadunan manusia sejak berkurun lama. Sejarawan serta pemikir politik Amerika, Theodore Lothrop Stoddard( 1883-1950) mentafsirkan nasionalisme adalah suatu keadaan jiwa yang terbentuk dalam kelompok besar manusia perseorangan sehingga membentuk suatu kebangsaan, rasa kebersamaan segolongan sebagai suatu bangsa.Dalam konteks pentafsiran beliau, bangsa yang dimaksudkan ialah rakyat sesebuah negara. Sebaliknya, golongan kiri berfahaman komunisme, Karl Marx pula lebih bersikap rigid dalam pendapatnya. Beliau menukilkan bahawa nasionalisme wujud apabila ada dua golongan yang bertentangan, yang satu menindas mankala satu lagi pihak yang ditindas. Kesan daripada wujudnya dua golongan ini melahirkan suatu perjuangan. Golongan pertama mengamalkan kolonialisme atau imperialisme,manakala yang kedua membakar diri dengan perjuangan atas dasar nasionalisme. Keinginan ataupun hasil yang ingin diperoleh tidak lain hanyalah kemerdekaan.

Selayang Pandang : Memoir Perjuangan Nasionalisme Negara

Bermula tahun 1511,tanah yang dinikmati sepenuhnya rakyat pertiwi mula diratah dek sang penjajah. Kedaulatan Sultan yang menjadi payung rakyat sejak beratus tahun lamanya, direntap kehormatannya saat suatu bangsa terulung di perairan selat Melaka dihalau tidak bertempat dari tanah Melaka.Akibat cemburu si penakluk akan sebuah kemahsyuran wilayah perdagangan seantero dunia, hasad dengkinya akan sebuah kesatuan rakyat walaupun berbagai bangsa dan agama, sebuah Venice Asia lenyap sekelip mata, madah bahasa lingua franca hilang dari perbualan dunia. Kota Melaka yang gah berdiri hancur dilanyak menjadi padang jarak padang terkukur. Kisah rakyat terjajah belum berakhir, penjajah silih berganti setelah puas merompak hasil pertiwi. Episod penjajahan Inggeris dan Belanda di Asia Tenggara menjadi suatu tragedi penghinaan buat kita semua. Tanah air yang dicintai seakan barang permainan bila Perjanjian  1824 membolehkan Inggeris dan Belanda bertukar wilayah penaklukan Bangkahulu dan Melaka. Jarum-jarum licik, tipu daya dan ugutan penjajah sentiasa mengintai peluang setiap sengketa dan peristiwa di Tanah Melayu dan kawasan sekitarnya, agar tanah air yang selama ini dibanggakan akhirnya tergadai. Tidak cukup dengan luka ini, rakyat sekali lagi menderita bila melewati zaman pendudukan Jepun. Atas suatu dasar bertopengkan ”Asia Untuk Asia”, penjajah cuba menyembunyikan niat imperialisme, suatu tujuan untuk merakus segala hasil dan hak pribumi rakyat jelata. Penderitaan, tangisan anak bangsa yang berterusan akhirnya membangkitkan semangat perjuangan membara dalam setiap jiwa yang cinta akan kedaulatan agama,bangsa dan negaranya. Nama-nama pejuang pembebasan mulai mekar meniti sejarah sebuah negara yang mahu mengakhiri sebuah penjajahan yang bersifat mengongkong,angkuh serta menanam jurang dan kasta perbezaan taraf masyarakat. Tok Janggut, Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong menjadi saksi kebangkitan rakyat di semenanjung, sementara pengorbanan Mat Salleh serta Rentap tersemai utuh dalam setiap jiwa rakyat Sabah dan Sarawak. Darah kesatria yang mengalir tidak akan terhenti walau barisan pejuang ini tersungkur di bumi sendiri. Akhirnya, usaha pembebasan yang dahulunya hanya disertai oleh kelompok kecil rakyat mula membangunkan sebahagian besar penduduk Tanah Melayu , Sabah dan Sarawak akan perlunya kesatuan semangat, harta dan jiwa yang tidak boleh lagi berbelah bahagi. Permulaan awal 1930 hingga 1950-an menjadi titik tolak berdirinya solidariti persatuan-persatuan seperti GAPENA, Kesatuan Melayu Muda yang ditunjangi oleh anak-anak muda yang tidak lagi hanya pandai membaca,menulis dan mengira, malah berjuang dalam segenap lapangan bagi menyebarkan idea pembentukan sebuah wilayah yang merdeka dari belenggu penjajahan.

Sungguh, catatan perjalanan semangat nasionalisme dari bermula muqadimah sehingga Tuanku Abdul Rahman melafazkan kalimah keramat ”Merdeka” tidak mampu dicoret dengan dakwat dan pena. Semangat ini yang menjadi azimat penghubung seluruh rakyat jelata yang berbilang bangsa. Semangat ini jualah yang merapatkan kembali jurang antara kaum yang selama ini terpisah, dek kerana dasar Pecah dan Perintah rekaan penjajah British. Tarikh 31 Ogos 1957 menjadi saksi bagi dunia menyaksikan Malaysia negara pertama di dunia yang berjaya menyatukan penduduk berbilang kaum, berada di bawah payung naungan serta cita-cita yang sama untuk mencapai kemerdekaan mutak.

Seusai melewati 55 tahun kemerdekaan,mari kita bermuhasabah, adakah kemerdekaan hasil perjuangan generasi terdahulu bakal diwarisi berterusan, atau kita sebenarnya semakin tersasar dari arah tujuan. Malaysia memerlukan kesatuan kefahaman masyarakat yang menyeluruh akan jati diri nasionalisme yang sebenar. Hakikatnya, peredaran zaman yang berlaku tidak lagi meletakkan kita dalam perjuangan senjata dan perang. Perjuangan yang bakal dilalui bukanlah darah dan nyawa jadi taruhan. Namun, jangan kita mudah terpedaya akan keamanan yang kita kecapi selama ini. Idealisme penjajahan zaman moden tanpa disedari menyelusup masuk dan bila-bila masa sahaja mampu menghancurkan sebuah kemerdekaan

Nasionalisme Moden : Perjuangan Penyatuan Rakyat, Pembebasan Cengkaman  Anasir Jahat.

Pada hari ini,kita tidak lagi akan berada dalam situasi  hujan peluru yang tidak mengenal mangsanya.Barangkali sudah tidak ada lagi zaman dimana seluruh tubuh badan dirodok oleh senjata-senjata penjajah. Kita juga bukan lagi generasi yang dipaksa menjadi buruh dan hamba bagi sang penjajah mencapai cita-cita imperialisnya. Ironinya,jangan sesekali mudah leka dan lupa bahawa kita berada dalam zaman yang lebih mencabar, dimana penjajahan moden menyelinap masuk tanpa kita sedari. Penjajahan berbentuk ideologi  dan ekonomi mampu meranapkan keutuhan perpaduan dan kemajuan yang telah terbina sejak sekian lama.

Masihkah kita ingat akan tragedi keruntuhan ekonomi seluruh  Asia pada penghujung tahun 1997? Waima Malaysia yang dahulunya digelar ”Ekonomi Harimau Asia” pun tidak mampu menahan penjajahan ekonomi serantau yang berlaku ketika itu. Angkaranya ialah penyangak mata wang dunia serta kapitalis barat yang rakus memanipulasi sistem ekonomi serantau demi keuntungan individualistik. Natijahnya, rakyat menderita, ramai yang kehilangan kerja, malahan sebahagian besar pelajar luar negara ketika itu dipanggil pulang serta merta akibat penajaan dana biasiswa yang terencat akibat usaha baik pulih ekonomi negara. Inilah suatu contoh bagaimana anasir luar yang mampu mengawal sistem ekonomi negara kita tanpa perlu merampas nyawa mahupun tanah air kita.

Sentimen perkauman merupakan satu lagi racun berbisa yang mampu meranapkan kestabilan sosio-politik Malaysia. Isu-isu sengaja direkasaya, agak bibit-bibit perbalahan,perpecahan mula menguasai rakyat yang berbilang kaum. Keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia senantiasa terancam andai inilah senjata utama yang digunakan oleh anasir luar bagi meruntuhkan Malaysia. Lebih memburukkan keadaan, perbezaan agama dijadikan suatu lagi sasaran serangan, yang mampu membawa keadaan kritikal hingga pertumpahan darah. Disaat ini lah, anasir luar ini akan memakai topeng ”keamanan sejagat” lalu menawarkan diplomasi yang akhirnya memusnahkan rakyat itu sendiri.

Inilah antara contoh penjajahan era moden yang sering kita leka dan alpa. Kita tidak punya pilihan lain selain menyedarkan masyarakat yang masih belum mengerti akan bahaya penjajahan era moden. Disinilah penyatuan  atas dasar Nasionalisme, semangat sayangkan negara dan rakyat jelata menjadi tunjang kepada perjuangan menangkis serangan anasir luar. Pada saat inilah, Malaysia memerlukan suatu mekanisme berstrategi bagi menyatukan seluruh hati-hati rakyatnya.

Dilema Nasionalisme Dalam  Islam : Suatu Salah Faham Yang Perlukan Pencerahan.

Pertembungan antara fikrah nasionalisme dengan jatidiri Islam yang tersemat pada rakyat Malaysia beragama Islam, menjadi suatu topik kritikal yang dibincangkan ketika ini.Sebilangan besar rakyat Malaysia menganut agama Islam,menjadikannya sebagai agama rasmi Malaysia sejak tertegaknya perlembagaan negara. Islam, agama luhur yang menganjurkan keamananan sejagat ,menjadikan bukan sahaja aspek keimanan kepada tuhan sebagai asas pegangan namun menyatukan seluruh aspek kehidupan manusia dalam acuan yang dikehendaki oleh Al-Quran dan Sunnah. Natijahnya, Islam menerapkan umatnya menggabungkan diri,jiwa serta idealisme tidak boleh lari daripada landasan syarak. Bersumberkan prinsip ini, umat Islam ditegah untuk menjadikan sebarang idealisme lain sebagai tunjang fikrah, lalu bila timbulnya isu nasionalisme berlaku penolakan yang mengundang salah faham serta situasi kurang baik antara sesama masyarakat.

Lebih mengeruhkan keadaan, topik kritikal ini tidak disambut untuk dibincangkan secara berhikmah, meluas bagi memberi penjelasan terbaik namun ditolak mentah-mentah, sedangkan Islam menganjurkan perbincangan, perdebatan serta pengutaraan hujah secara berhikmah, walaupun berlaku perbezaan akidah.

            Dalam pencarian hujah-hujah berkenaan nasionalisme, kebanyakannya ditemui hujah yang rigid menolak idea ini secara total,hinggalah penulis menghadam bait-bait cetus pemikiran seorang ahli pendidikan Mesir, Hassan Al Banna yang berbunyi;

            ”Kini banyak orang terpesona dengan seruan Nasionalisme atau paham kebangsaan, khususnya di kalangan masyarakat negeri Timur. Bangsa-bangsa Timur menganggap bahwa Barat telah melecehkan keberadaan, merendahkan martabat, dan merampas kemerdekaan mereka. Bukan hanya itu, Barat juga telah mengeksploitasi harta kekayaan mereka dan menghisap darah putera-putera terbaiknya. Imperialisme dan kolonialisme Barat yang memaksakan kehendaknya telah membuat jiwa bangsa-bangsa Timur terluka. Itulah yang membuat mereka berusaha membebaskan diri dari cengkraman Barat dengan segala daya,  ketegaran, dan kekuatan yang dimilikinya dalam rentang perjuangan yang demikian panjang. Dari sanalah kemudian para pemimpin, pemikir, penulis, dan wartawan menyerukan pembebasan atas nama Nasionalisme dan kebangsaan. Tentu saja yang demikian itu baik dan indah.

Tapi menjadi tidak baik dan tidak indah, apabila anda mengatakan kepada mereka (bangsa Timur),yang majoritinya muslim, bahwa “Apa yang ada dalam Islam dalam hal ini jauh lebih mulia dibanding apa yang sering digembar-gemborkan oleh orang-orang Barat,” tiba-tiba saja mereka enggan dan bahkan semakin membabi buta dalam berpegang pada fanatisme kebangsaannya. Mereka menganggap bahwa Islam berada di satu sisi, sementara prinsip Nasionalisme yang mereka yakini ada di sisi yang lain yang berseberangan antara keduanya. Sebagian mereka bahkan menganggap bahwa seruan kepada Islam itu justeru akan memecah-belah persatuan bangsa dan melemahkan ikatan antara warganya.

Pemahaman yang salah ini tentu saja berbahaya bagi bangsa-bangsa Timur.Itulah sebabnya saya ingin menjelaskan sikap yang sebenar terhadap Nasionalisme.

Nasionalisme Kerinduan

Jika yang dimaksud dengan Nasionalisme oleh para penyerunya adalah cinta tanah air, memihak padanya dan kerinduan yang terus disulam terhadapnya, maka hal itu sebenarnya sudah tertanam dalam fitrah manusia. Lebih dari itu Islam juga menganjurkan yang demikian. Sesungguhnya Bilal bin Rabbah yang telah mengorbankan segalanya demi aqidahnya, adalah juga Bilal yang suatu ketika di negeri Hijrah menyenandungkan bait-bait puisi kerinduan yang tulus terhadap tanah asalnya, Mekkah.

O, angan,

masihkah mungkin ‘kan kulalui malam

pada lembah dan ada Izkhir mengitariku, juga Jalil

Masihkah mungkin kutandan gemercik air Mijannah

Atau Syamah menampak bagiku, jugaThafii

Pernah suatu ketika Rasulullah s.a.w mendengar untaian sajak tentang Mekkah dari Ashil, dan tiba-tiba saja butir-butir air mata beliau bercucuran di celah pipinya. Kerinduan kepada Mekkah tampak jelas di permukaan wajahnya. Kemudian beginda bersabda, “Wahai Ashil ,biarkan hati ini tenteram… “

Nasionalisme Kehormatan dan Kebebasan

Jika yang dimaksudkan dengan Nasionalisme adalah keharusan berjuang membebaskan tanah air dari cengkeraman imperialisme, menanamkan makna kehormatan dan kebebasan dalam jiwa putera-putera bangsa, maka kami juga sepakat tentang itu. Islam telah menegaskan perintah itu dengan setegas-tegasnya melalui firman Allah iaitu;

“Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya, dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui.” (AI Munafiqun: 8 )

“.Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang beriman.” (An Nisa’: 141)

Nasionalisme Kemasyarakatan

Jika yang mereka maksudkan dengan Nasionalisme adalah memperkuatkan ikatan kekeluargaan antara anggota masyarakat atau warga negara serta menunjukkan kepada mereka cara-cara memanfaatkan ikatan itu untuk mencapai kepentingan bersama, maka di sini pun kami sepakat dengan mereka. Islam bahkan menganggap itu sebagai kewajiban. Lihatlah bagaimana Rasulullah s.a.w bersabda, “Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang saling bersaudara.”Allah s.w.t juga berfirman;

 “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (karena) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” (Ali Imran: 119) ”

Sesungguhnya, inilah suatu hujah konkrit bagi umat Islam akan semangat Nasionalisme yang dianjurkan. Dalam komuniti masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan, umat Islam sepatutnya menjadi pemimpin yang akan menyebarkan mesej perpaduan dan kesatuan. Kita diberi amanah dan kemuliaan yang mampu dicurahkan pada tanah air, sebagai satu umat perantara yang bakal mempersaudarakan seluruh hati-hati rakyat Malaysia dibawah satu cita-cita yang sama.

Penyatuan Rakyat : Acuan Glokal, Pencapaian Global

            Ketika menghampiri bait-bait terakhir sekilas genta rasa berkenaan Nasionalisme, penulis berpeluang meneliti Belanjawan 2013 yang telah dibentangkan oleh Y.A.B Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

            ”Sesungguhnya kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan dengan izinNya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina realiti daripada impian. Kepada Allah kita berserah.”

Begitulah ucapan beliau dalam pembentangan belanjawan yang dinanti-nantikan segenap masyarakat Malaysia. Dalam kalam yang terakhir, tidak sesuai sekali mengurai panjang lebar akan suatu belanjawan bernilai RM 251.6 bilion ini. Namun penulis cuba mencari maknawi yang tersirat disebalik harapan dalam rancangan ini.

            Andai kita mahu mendongak maju ke hadapan, mungkin inilah dayungan pertamanya. Andai kemajuan yang dicari, mungkin ini titik tolaknya. Disinilah nadi pertama permulaan penyatuan seluruh rakyat. Seperti yang telah dinukil dalam baris kata terdahulu, kita terpisah jauh akibat tangan-tangan rakus sang penjajah. Bermula saat ini, rakyat disatukan dengan suatu aspirasi ekonomi, agar kita tidak lagi merendah diri di persada dunia.

            Suatu hari nanti, sang nelayan tidak lagi malu bicara akan kerjanya. Seorang anak kampung pedalaman kini terbela nasibnya. Biar berbeza taraf hidup dan latar belakangnya, rakyat jelata bangga bila menyebut tanah airnya. Agama dan pegangan hidupnya mekar di wilayah tercinta. Tiada lagi sengketa, sebaliknya perpaduan terbina. Rakyat berbilang kaum di Malaysia mampu menjadi contoh nasionalisme terbaik di mata dunia. Semuanya bukan angan-angan jenin, andai aspirasi penyatuan tidak sekadar retorik berkepentingan, ceritera dan rekasaya. Apakah dasar nasionalisme yang sepatutnya menjadi nadi perjuangan negara? Atau kita masih terkial-kial dengan hala tuju yang sebenar?Akhirnya, Nasionalisme mampu ditafsir dalam rantaian kata yang amat mudah, suatu sifat sosial yang lahir bila wujud apa-apa sahaja persamaan,baik bahasa,sifat,demografi atau keturunan,malah kestabilan ekonomi sejagat.Sifat ini membentuk suatu semangat kecintaan, keteguhan untuk melindungi dan mempertahankan bahkan sanggup mengenepikan kepentingan diri sendiri.Itulah nasionalisme yang sebenar,di mana karat-karat individualistik lansung dihapuskan.

            Penulis membayangkan, semangat cintakan negara tidak cukup dengan nukilan idea di lembaran-lembaran maya sebegini.Kitalah yang bakal merealisasikan aspirasi ini.

Andai Malaysia itu Bahtera, Kitalah Sang Nahkodanya…

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);