Menyertai Kelab Programming di Jepun

Penulis: Nurin Izzati (Kyushu Institute of Technology)

Saya merupakan seorang pelajar yang sedang menuntut di salah sebuah universiti awam di pulau Kyushu. Universiti tersebut merupakan sebuah universiti teknikal(technical insitute) di mana lebih kurang 87% pelajarnya adalah lelaki. Di jabatan saya, daripada 125 pelajar, hanya 10 orang pelajar perempuan termasuk saya dan seorang teman Malaysia saya.  Semasa pemilihan universiti di Malaysia pada pertengahan bulan 6 tahun 2018, saya mengambil keputusan untuk belajar di pulau Kyushu kerana kos sara hidup yang jauh lebih murah berbanding di bandar utama dan persekitaran yang tenang dan tidak terlalu sibuk seperti di Tokyo.

Bermula dari tahun 2019, MJHEP telah mengambil keputusan untuk tidak lagi menghantar pelajar ke universiti saya kerana silibus pembelajaran di universiti saya telah mengalami pembaharuan dan silibus terbaharunya sudah lagi tidak sama dengan silibus yang dipelajari di MJHEP. Saya merupakan antara pelajar MJHEP terakhir yang dihantar di universiti saya. Buat masa ini, pelajar Malaysia di universiti saya hanya tinggal 3 orang dan bermula dari semester hadapan hanya saya seorang sahaja pelajar Malaysia yang akan berada di universiti ini.

Belajar di Jepun ini ada banyak pengalaman pahit dan pengalaman manisnya namun sebagai seorang yang sentiasa berfikiran positif dan sentiasa suka cuba melakukan perkara yang baru, kesusahan belajar di Jepun menjadi lebih seronok dan bermakna. Pada tahun pertama pengajian saya di Jepun sebagai pelajar peralihan(transfer student), saya telah menyertai kelab programming yang dinamakan Stairs. Saya menyertai kelab tersebut selepas mengetahuinya daripada senior saya yang berbangsa Jepun dan dia menawarkan saya untuk menyertai kelab tersebut memandangkan dia adalah pengerusi kelab tersebut. Saya menyertai kelab itu daripada bulan 4 tahun 2019 sehingga bulan 11 tahun 2019 kerana pada bulan 11 tahun tersebut, kelab itu telah dibubarkan untuk selama-lamanya.

Semasa menyertai kelab tersebut, saya sangat seronok kerana saya dapat mempelajari banyak ilmu yang baru dan di situ juga saya mula mempelajari web programming menerusi Ruby on Rails dan seterusnya saya juga mula mempelajari cara membuat aplikasi telefon pintar menerusi Swift. Semasa berada di Malaysia, saya kurang menggemari subjek programming namun kelab yang saya sertai itu merupakan kelab yang akan mengajar ahli barunya programming daripada awal maka saya mengambil keputusan untuk cuba menyertai kelab tersebut walaupun hanya saya seorang sahaja yang bukan berbangsa jepun.

Menerusi kelab itu juga saya berpeluang menyertai pertandingan Challecara iaitu sebuah pertandingan yang dianjurkan untuk pelajar yang sedang menuntut di universiti atau sekolah tinggi di wilayah Fukuoka. Setiap bulan, peserta-peserta pertandingan itu akan berkumpul sekali di Hakata iaitu bandar utama di Kyushu dan di situ kami semua berpeluang untuk berinteraksi dengan fasilitator mengenai aplikasi yang kami ingin bina. Fasilitator terdiri daripada freelance programmer, programmer yang bekerja di syarikat, jurutera dan sebagainya. Menerusi perjumpaan sebulan sekali di Hakata, pelajar dapat bertukar idea mengenai masalah yang dihadapi semasa membuat programming, menambahbaik aplikasi yang sedia ada menerusi perbincangan bersama fasilitator dan belajar sesuatu yang baru menerusi penyampaian daripada kumpulan-kumpulan lain.

Saya menyertai pertandingan itu selama lebih kurang 6 bulan dan dalam masa 6 bulan itu, saya mempelajari mengenai framework, cara menggunakan database, dan sebagainya. Semasa mempelajari cara membuat website, saya menyedari bahawa sesungguhnya untuk membuat satu website yang cantik, selamat dan menarik adalah tidak semudah yang disangka. Sebelum saya menyertai pertandingan ini, saya hanyalah seorang pengguna website dan tidak terlalu memikirkan apa yang berlaku disebalik website tersebut namun setelah saya menyertai pertandingan tersebut, saya menyedari bahawa untuk membina satu website, ada banyak sekali perkara yang berlaku disebaliknya dan ianya rumit.

Kami tidak memenangi pertandingan tersebut kerana terdapat banyak kumpulan yang sangat kreatif dan menghasilkan aplikasi yang jauh lebih hebat daripada kami. Ada kumpulan yang menggunakan Aritificial Intelligence(AI) untuk memadankan baju sedia ada untuk menghasilkan padanan baju yang baru, ada kumpulan yang menggunakan teknologi Augmented Reality(AR) untuk menghasilkan peneman hidup alam maya untuk individu yang hidup seorang dan ada kumpulan yang menggunakan teknologi Blockchain untuk menguruskan akaun servis yang telah dilanggan secara peribadi seperti Amazon Prime, Netflix dan sebagainya dengan lebih baik.         

Kesimpulannya, walaupun saya tidak memenangi pertandingan tersebut, namun pengalaman yang telah saya perolehi menerusi penyertaan pertandingan itu sangat bermakna dan tidak akan saya lupakan. Menerusi pertandingan tersebut, saya menyedari minat saya terhadap bidang komputer sains dan saya menyedari bahawa dengan kemahiran programming, kita mampu melakukan banyak perkara di luar daripada jangkaan kita. Selain itu, saya juga menyedari bahawa rakyat Jepun mampu menghasilkan ciptaan yang hebat kerana mereka sangat mendukung anak-anak mudanya untuk mencipta sejak daripada bangku sekolah dengan menyediakan platform untuk anak-anak muda mereka untuk merealisasikan dan mempamerkan ciptaan mereka. Akhir sekali, saya percaya masa depan negara akan lebih cerah jika lebih ramai anak mudanya diberi peluang dan platform untuk berkarya dan mencipta.     

‘Taman Tema’ di Jepun

Penulis: Nur Azlina (Meiji University)

Secara amnya Jepun dikenali sebagai salah sebuah negara yang mempunyai kecantikan alam semulajadi yang luar biasa dan keindahan pemandangan di negara ini berubah mengikut perubahan musim yang berlaku sepanjang tahun. Setiap musim mempunyai keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri dari segi pemandangan dan juga aktiviti-aktiviti yang sering dilakukan.

Berkunjung ke taman tema permainan adalah antara aktiviti yang sering dilakukan oleh penduduk-penduduk di Jepun pada musim panas. Namun begitu, aktiviti ini tidak terhad hanya pada musim panas kerana beberapa taman tema di sini akan mengubah suai atau menambah aktiviti-aktiviti lain sebagai tarikan tambahan untuk pengunjung-pengunjung mereka bersesuaian dengan musim semasa. Jepun mempunyai banyak taman tema dan taman hiburan yang popular, termasuk beberapa brand names yang terkenal di seluruh dunia seperti Disneyland dan Universal Studios.

Bercerita daripada pengalaman sendiri, saya pernah berkunjung ke Universal Studio Japan (USJ) di Osaka sebanyak dua kali walaupun saya menetap dan belajar di universiti di Tokyo 😅. Bagi mereka yang tidak mengetahui, jarak Tokyo dan Osaka adalah 397 kilometer dan mengambil masa lebih kurang 7 hingga 9 jam jika menaiki bas. Harga tiket masuk ke USJ sebenarnya berubah mengikut 4 musim dan juga msuim cuti di Jepun. Saya pernah berkunjung ke USJ pada musim sejuk dan juga musim cuti Shougatsu (Cuti Tahun Baru) pada hujung tahun 2019 dan harga tiket pada waktu itu mencecah hampir 10 000¥ (bersamaan hampir RM400). Dan sekali lagi saya berkunjung ke USJ pada musim luruh 2020 dan harga tiket pada waktu itu lebih kurang 6 000¥ (bersamaan RM240) sahaja memandangkan waktu itu bukan lah musim cuti di Jepun. Don’t criticize me for going there during this pandemic please! I was wearing my mask and brought along my hand sanitizer all the time! 😉 Most of the rides are indoors so I cannot share the pictures of the rides but here are some of the popular attractions in USJ. I would say that the most popular attraction in USJ is The Wizarding World Of Harry Potter and the most thrilled ride is the Jurassic Park : The Flying Dinosaur because this ride lets us fly through the sky like a bird, facing downward and turn 360 degrees in the air at great speed.

The Wizarding World of Harry Potter

Selain itu, Fuji-Q juga merupakan antara taman tema yang terkenal di Jepun selain USJ dan ia terletak berhampiran dengan tapak Gunung Fuji di Yamanashi-ken. Kedudukannya yang berdekatan dengan Fuji merupakan antara tarikan utama taman tema ini kerana para pengunjung mampu bermain dan menaiki ride sambil menikmati pemandangan Fuji yang amat cantik dan memukau.

Antara tarikan utama di Fuji-Q adalah Fujiyama Ride. Pengunjung yang menaiki ride ini mampu menikmati pemandangan Fuji sepenuhnya (sebelum ride anda menurun 🙃 ) memandangkan ride ini adalah roller coaster yang tertinggi di Fuji-Q dan juga pernah menjadi roller coaster tertinggi di dunia. Selain Fujiyama Ride, Do-Donpa juga merupakan antara roller coaster yang menjadi tumpuan utama dengan keistimewaannya yang mempunyai pecutan tertinggi pada masa pelancaran. Ia juga pernah menjadi roller coaster terpantas di dunia. Pengalaman saya, anda akan terkejut dengan kelajuannya semasa pelancaran dan ride ini akan berakhir before you even can catch up your breath! Selain daripada itu, terdapat satu ride yang dipanggil Eejanaika di mana tempat duduknya akan berputar 360 darjah ke depan dan ke belakang dan pada masa yang sama mempunyai beberapa trek yang akan berpusing 360 darjah. Takabishajuga berjaya menarik perhatian ramai pengunjung dengan keunikan treknya yang mempunyai drop angle of 121°dan pernah menjadi roller coaster paling curam di dunia.

Selain daripada roller coaster dan tarikan2 lain, taman tema ini juga mempunyai tarikan yang dikenali sebagai Haunted Hospital dan ia dikatakan adalah rumah hantu terbesar pertama di dunia. Rumah hantu ini juga pernah ditayangkan dalam salah satu program realiti Korea Running Man dan jika ada antara anda yang berminat untuk melihat ‘isi kandungan’ rumah hantu ini, boleh la pegi tengok klip2 video yang ada di Youtube sebab saya tak berani nak masuk 😆.

Taman tema Fuji-Q adalah salah satu taman tema yang mengubah suai tarikannya sesuai mengikut musim semasa. Contohnya pada musim panas, terdapat sebuh kolam yang dijadikan tempat untuk aktiviti cycling swan, manakala pada musim sejuk, kolam itu dijadikan ice ring untuk aktiviti ice skating dan aktiviti-aktiviti ini berjaya menarik perhatian ramai orang terutama keluarga-keluarga yang mempunyai anak yang masih kecil untuk meluangkan masa bersama.

Namun begitu, taman tema di Jepun ini terdapat beberapa cons antaranya waktu operasi untuk taman tema tersebut sering berubah mengikut musim. So make sure you guys check the operating hours first before decide to go ok! Sekian dari saya and thanks for reading guys! 😊

“Papan Luncur Salji” di Jepun

Penulis: Muhammad Fitri Ajwad (Tokyo Kouka University)

Umum mengetahui bahawa negara Jepun merupakan negara empat musim iaitu musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk. Jepun jelas mempunyai empat musim kerana kawasannya yang dikatakan berada di latitud pertengahan bumi yang mana perubahan jisim udara adalah tinggi. Oleh hal demikian, bagi sesetengah penduduk Jepun, mereka sangat tidak menggemari cuaca musim sejuk yang tiba pada bulan Disember hingga Februari setiap tahun. Hal ini kerana pada musim sejuk kebiasaannya kulit akan jelas kelihatan kering serta menyukarkan aktiviti harian. Namun begitu, pada mereka yang sangat menyukai cuaca musim sejuk, sudah semestinya mereka akan menantikan aktiviti wajib tahunan iaitu bermain papan luncur salji atau lebih dikenali sebagaiスノボー(snowboard) di sini.

Aktiviti papan luncur salji di sini selalunya dilakukan di kawasan pergunungan yang mempunyai lapisan salji yang tebal. Hal ini sudah semestinya bagi memudahkan para peluncur untuk meluncur dari atas ke bawah kaki pergunungan dengan pantas dan juga mencabar. Selain itu, lapisan salji yang tebal juga mampu mengurangkan kesakitan kepada para peluncur seandainya mereka terjatuh atau tergelincir sewaktu bermain.

Antara kawasan yang terkenal di Jepun bagi penggemar aktiviti papan luncur salji sudah semestinya di kawasan Nagano. Hal ini kerana, persekitaran di Nagano yang boleh dikatakan dikelilingi kawasan pergunungan dan juga faktor cuaca salji yang lebat sepanjang musim sejuk di Jepun. Malahan, Nagano juga terkenal kerana aktiviti sukan olimpik musim sejuk (Olympic Winter Games) yang pernah dianjurkan pada tahun 1998. Sudah semestinya bagi sesiapa yang pernah mengunjungi ke kawasan meluncur di Nagano, mereka pasti akan tertarik dengan kecantikan kawasan pergunungan salji yang sangat indah.

Bagi pengalaman saya sendiri, saya sudah menjejakkan kaki di tiga buah kawasan meluncur salji yang berbeza. Yang pertama, Kagura Snow Resorts yang berdekatan dengan kawasan Niigata. Di sini tempat saya pertama kali mencuba aktiviti mencabar papan luncur salji ini. Saya dan kawan-kawan bertolak ke sana seramai 12 orang dengan dua buah kenderaan yang mengambil masa selama tiga atau empat jam dari tempat tinggal kami iaitu Hachioji. Pada waktu itu, kebanyakan antara kami belum pernah lagi mencuba aktiviti papan luncur salji ini. Jadi, dengan keadaan cuaca ribut salji yang sangat lebat, kami memulakan aktiviti kami dengan bermain di bahagian bawah untuk memanaskan badan sebelum menaiki chair lift untuk ke kawasan atas bukit.

Saya juga sudah bermain di Fujiten Snow Resort yang berdekatan kawasan kaki pergunungan Gunung Fuji. Saya mengambil masa selama satu hari untuk memahirkan diri sendiri bemain papan luncur salji ini. Bagi pendapat saya, pemandangan di Fujiten Snow Resort tidaklah seteruk seperti dihebohkan. Kita dapat melihat pemandangan Gunung Fuji yang begitu jelas sewaktu bermain. Selain itu, ada juga khabar angin yang mengatakan kawasan meluncur di sana menggunakan salji tiruan atau ‘man-made snow’ yang menyebabkan kawasan salji itu tidak selembut seperti di kawasan meluncur lain. Namun begitu, saya sendiri tidak pasti dengan tahap kesahihan khabar angin tersebut. Tetapi, bagi pendapat saya, Fujiten Snow Resort sangatlah sesuai bagi sesiapa yang pertama kali ingin mencuba papan luncur salji. Hal ini kerana, di sana terdapat course yang pendek untuk sesiapa yang ingin belajar meluncur iaitu, beginner course. Tambahan pula, keadaaan cuaca di persekitaran kawasan yang jarang mengalami ribut salji juga merupakan salah satu faktor utama mengapa kawasan tersebut sesuai bagi beginner aktiviti ini.

Seterusnya, saya akui tempat tumpuan kawasan meluncur yang paling cantik saya pernah pergi adalah di Ryuoo Ski Park, Nagano. Sudah semestinya kawasan di sini dikelilingi dengan pergunungan salji yang indah. Saya dan beberapa orang rakan pergi ke tempat tersebut dengan mengambil pakej percutian tiga hari dua malam melalui sebuah agensi pelancongan di Jepun. Tambahan itu, kami juga menerima potongan harga kerana kempen melancong yang dianjurkan oleh pihak kerajaan Jepun pada ketika itu. Oleh hal demikian, kami dapat menjimatkan hampir separuh kos perbelanjaan kami untuk bercuti di sana. Perjalanan yang mengambil masa hampir tujuh jam dengan menaiki bas pelancong dari Shinjuku, Tokyo untuk ke sana amatlah memenatkan. Tempat penginapan yang disediakan sangat selesa dengan bilik hotel yang sangat luas. Selain itu, kami semua berpuas hati dengan hidangan makanan yang disediakan. Pihak hotel menyajikan makanan secara bufet, bermaksud kami dibenarkan mengambil sebanyak mana makanan yang kami mahu. Malahan, banyak makanan seafood juga tersedia sebagai tambahan protein untuk kami selepas meluncur. Melalui pakej yang diambil melalui agensi pelancongan ini, banyak kelengkapan sudah termasuk dalam pakej ini seperti pakaian dan peralatan untuk meluncur. Jadi, bagi kami yang tidak mempunyai peralatan papan luncur salji ini, kami amatlah berpuas hati kerana semuanya sudah disediakan olah pihak hotel.

Bagi sesiapa yang ingin pergi ke Ryuoo Ski Park, saya menggalakkan anda menaiki gondola untuk ke puncak kawasan meluncur tersebut. Hal ini kerana, anda akan dapat menyaksikan salah satu permandangan ciptaan Tuhan yang begitu cantik dari atas kawasan pergunungan salji. Bayangkan anda dapat melihat keindahan ciptaan Tuhan ini bersama sama rakan rakan dan orang tersayang, pasti dapat merasakan salah satu nikmat ketenangan dalam diri sendiri. Boleh dikatakan kesemua tekanan yang kita hadapai sewaktu kerja mahupun belajar, akan terus hilang dengan hanya melihat keindahan permandangan ciptaan Tuhan.

Akhir kata daripada saya, gunalah masa anda sewaktu berada di Jepun dengan melancong ke tempat tempat menarik dan juga cuba mempelajari aktiviti aktiviti baharu untuk diri kita. Selain itu, jadikanlah aktiviti melancong ini sebagai salah satu ruang untuk diri sendiri melepaskan tekanan daripada belajar dan kerja. Terima kasih kerana sudi membaca ruangan ini! Assalamualaikum.

Kerja sambilan (Baito) di Jepun

Penulis: Faiqa Athirah (Tokyo Kouka University)

Kalau korang  Penuntut Universiti di Jepun, sangatlah rugi jika anda tidak mengambil peluang ini untuk merasai pengalaman bekerja sambilan di negara Matahari terbit ini.  Saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman saya sepanjang melakukan kerja sambilan di Jepun setelah lebih kurang hampir setahun tinggal di Jepun. Antara kerja sambilan yang saya pernah lakukan adalah pengira stok barang, Urusetia program, Guru Bahasa Melayu, dan pekerja kedai baju (GU).

Tetapi sebelum itu, saya ingin menceritakan prosedur  mendapatkan kerja sambilan di Jepun. Pertama sekali adalah anda hendaklah mencari kerja sambilan yang dikehendaki dan mengahantar permohonan. Permohonan kerja sambilan boleh dibuat melalui aplikasi telefon.Terdapat pelbagai aplikasi telefon yang dikhaskan untuk mencari kerja sambilan yang tersedia di sini. Antara contoh-contoh aplikasi tersebut adalah Baitoru, Town Work, Mainabi Baito, dan banyak lagi. Melalui aplikasi ini ,anda boleh menetapkan ciri-ciri kerja sambilan yang anda mahu seperti jenis pekerjaan, Gaji per jam, boleh bekerja berapa hari dalam seminggu, Kawasan tempat kerja, dan aplikasi ini akan mencadangkan kerja sambilan yang bersesuian dengan citarasa anda! Mudah kan ?

Tapi tidak semudah itu sebenarnya kerana prosedur seterusnya yang anda perlu lalui adalah proses temuduga. Kebiasaanya semasa temuduga, anda perlu menyediakan resume. Tetapi usah risau, kerana resume tersebut ada dijual di mana-mana Convenient store seperti seven eleven dan 100 yen shop ,jadi anda tidak perlu buang masa menaip resume sendiri. Anda juga hendaklah bersedia dengan sebaik mungkin untuk menghadapi temuduga tersebut dan menunjukkan semangat dan pontensi anda supaya mereka yakin untuk mengambil anda sebagai pekerja.

Dan bagi pelajar perempuan yang bertudung, berdasarkan pengalaman saya sendiri, hanya sebahagian sahaja kerja sambilan yang menerima pekerja yang bertudung. Saya beberapa kali pernah ditolak semasa temu duga kerana saya bertudung dan pekerjaan tersebut memerlukan pekerjanya untuk mengenakan uniform seragam dan anda dikehendaki menanggalkan tudung. Tetapi anda tidak perlu risau kerana Syarikat Pakaian seperti Uniqlo , GU , dan GAP tidak mempersoalkan penampilan bertudung atau tidak dan telah ramai pelajar Malaysia yang pernah bekerja sambilan di sana. Jadi bolehla mencuba nasib nanti.

Selain daripada mencari kerja sambilan melalui aplikasi telefon, satu lagi method yang lebih efektif  adalah, melalui rekomendasi senior-senior anda. Kebiasaanya , melalui rekomendasi senior, anda tidak perlu melalui proses temu duga tetapi sebaliknya anda akan  terus di ‘hire’ oleh tempat tersebut . Sebagai contoh, adalah diri saya sendiri  semasa saya bekerja sebagai pengira stok barang , Cikgu Bahasa Melayu, dan urusetia program , kesemuanya adalah hasil daripada rekomendasi senior-senior saya.

Jadi nasihat saya untuk adik-adik kouhai, untuk memastikan kecerahan peluang  anda mendapat sesuatu kerja sambilan, sebelum mencarinya sendiri melalui aplikasi telefon, sangat disyorkan bertanya dahulu  kepada senior-senior anda tentang kerja sambilan yang boleh dilakukan disekitar tempat tinggal anda . Jika kerja tersebut tidak bersesuaian dengan hati anda, barulah gunakan aplikasi yang saya sebut kan tadi untuk mencari kerja sambilan yang lebih berkenan di hati .

 Kerja mengira stok barang yang saya sebutkan sebelum ini adalah di bawah satu syarikat yang bernama AJIS(エイジスト) dan untuk pengetahuan para pembaca sekalian kerja sambilan Ajis ini adalah antara kerja sambilan yang popular dikalangan pelajar-pelajar Malaysia di Jepun. Cuba kouhai-kouhai sekalian tanya senpai anda semua tentang pekerjaan AJIS ini. Saya yakin mana-mana senpai pun akan familiar dengan pekerjaan ini. Ini kerana, syarikat AJIS adalah syarikat yang memerlukan pekerja yang ramai dan mereka tidak mengenakan syarat yang ketat dalam memilih pekerja, dan hal ini juga memudahkan pelajar-pelajar perempuan yang bertudung untuk mendapat kerja ini.

Kerja mengira stok dibawah AJIS juga tidak susah,anda akan diajar menggunakan mesin khas untuk mengira stok barang . Meskipun begitu, kerja ini memerlukan anda mengorbankan masa tidur anda kerana kerja ini dijalankan dari sepanjang waktu malam hingga ke pagi (8.00 PM hingga 6:00 pagi). Pada awalnya, semasa senior-senior saya mempromosikan kerja ini kepada kami semasa baru sampai di Jepun, saya langsung tidak berminat kerana saya seorang tidak boleh tidak tidur malam dan saya tidak sanggup korbankan masa tidur untuk bekerja. Oleh itu , saya berusaha sendiri mencari pekerjaan sendiri melalui aplikasi telefon. Tetapi selepas 10 kali ke temuduga saya masih tidak lulus mana mana temuduga dan gagal memperoleh pekerjaan.

Oleh itu akhirnya saya putus asa mencari kerja sendiri kerana rupanya ia tidak semudah yang saya sangka.Saya pun mengambil keputusan untuk menerima sahaja kerja AJIS yang dipromosi oleh senior saya. Tetapi saya tidak bertahan lama kerana saya sejenis manusia yang memerlukan tidur yang cukup dan badan saya terlalu lemah untuk bekerja malam ke siang. Lebih kurang selepas 2 bulan bekerja sambilan AJIS, 1-3 kali seminggu saya pun memutuskan untuk mencari kerja lain yang tidak memerlukan saya mengorbankan tidur malam .

Kali ini saya cuma fokus dalam mencari kerja di kedai-kedai baju yang terkenal, seperti Uniqlo, GAP dan GU.Setelah banyak kali mencuba akhirnya saya berjaya melepasi temuduga dan mula bekerja di kedai baju GU. Dan bagi saya bekerja di kedai baju jauh lebih menyeronokkan kerana saya dapat mengasah lagi kemahiran berkomunikasi dan dapat membantu memperbaiki kemahiran bahasa Jepun saya. Selain itu, saya mendapat ramai kawan orang Jepun sepanjang bekerja di sana, dan dapat berkongsi cerita dan buah fikiran dengan mereka.

Pada masa itu juga seorang senior saya juga mempromosi kerja sebagai Cikgu Bahasa Melayu sambilan kepada kami. Saya tidak melepaskan peluang dan terus menghadirkan diri ke temuduga dan saya mendapat perkerjaan itu dengan mudah kerana tempat itu sangat kekurangan tenaga pengajar Bahasa Melayu. Tetapi pekerjaan ini tidakla susah kerana satu kali seisi pembelajaran hanyala 1 jam sahaja dan hari pembelajaran boleh dirunding bersama pelajar anda. Bekerja sebagai Guru Bahasa Melayu sangat menyeronokkan dan selain daripada dapat mengajar saya juga kerap belajar bahasa Jepun dari pelajar saya.

Sebelum saya lupa, oleh kerana kita datang ke Jepun di bawah visa pelajar, anda perlu mendapatkan cop kebenaran melakukan aktiviti kerja sambilan pada zairyuu Card (resident Card) anda. Cop ini sangat-sangat penting , dan anda boleh memohon cop ini di pejabat imigrasi terdekat dengan tempat tinggal anda.Bagi pelajar asing seperti kita, terdapat had masa bekerja iaitu tidak melebihi 8 jam untuk sehari, dan tidak melebihi 28 jam seminggu. Jika anda tidak mempunyai cop kebenaran ini, tidak ada majikan yang akan mengambil anda bekerja sambilan. Dalam situasi saya yang mempunyai dua kerja sambilan ini, saya hendaklah memastikan saya  tidak bekerja melebihi had masa yang ditetapkan ini.

Begitulah sedikit sebanyak pengalaman saya bekerja sambilan di Jepun. Nasihat saya kepasa adik-adik, kalau ingin bekerja sambilan, pertama sekali , tanya dahulu senior-senior kawasan anda tentang kerja sambilan yang anda boleh lakukan di sekitar anda. Jika pekerjaan itu tidak sesuai dengan anda, carila sendiri melalui aplikasi telefon dan pastikan pekerjaan tersebut diyakini halal disisi islam, tidak melibatkan arak,judi, dan benda-benda haram yang lain. Bagi yang ingin mengasah kemahiran soft skill dan komunikasi sangat digalakkan bekerja di menggalakkan untuk bekerja di kedai pakaian seperti Uniqlo, GU dan GAP bagi memantapkan lagi kemahiran Bahasa Jepun, dan dapat merasai budaya kerja Jepun dengan lebih dekat.

Selain itu, jika anda gagal banyak kali dalam temuduga jangan berputus asa untuk mencuba kerana saya juga berjaya mendapatkan kerja smabilan selepas lebih 10 kali ditolak semasa temuduga. Akhir kata, pandai-pandai bahagikan masa antara kerja sambilan dan pelajaran. Jangan terlalu obses mengejar duit sehingga  menyebabkan anda ponteng kelas, atau tidak siapkan kerja rumah atau mengganggu prestasi anda dalam pelajaran. Sejujurnya, gaji bekerja sambilan di Jepun agak lumayan, dan kadangkala akan membuatkan anda terasa ingin bekerja dengan lebih kerap . Tetapi kita hendaklah sentiasa ingat tujuan utama kita ke Jepun adalah untuk belajar .

Terima kasih!

Dianggap terrorist saat kedatangan ke Jepun

Penulis: Afiqe Anuar (Muroran Institute of Technology)

                Sebagai sebuah Negara pulau, Jepun sering terasing dari influansi negera-negara luar dan lebih menitik beratkan adat dan tradisi sendiri. Ini membuatkan mereka kadangkala sukar untuk menerima perubahan globalisasi dan dan benda yang asing dengan mereka. Disebabkan itu, mungkin ramai yang tertanya bagaimana penerimaan mereka terhadap foreigner yang datang ke negara mereka untuk mencari kehidupan baru. Maka, disini saya kongsikan pengalaman saya di sana untuk bacaan bersama.

              Antara perkara pertama yang perlu diuruskan setibanya di Jepun adalah membuat akaun bank bagi urusan elaun. Pada mulanya saya tidak mengendahkan apabila diberitahu yang akaun bank saya akan diaktifkan selepas 1 minggu dan buku bank akan terus diposkan ke rumah dalam tempoh tersebut. Tetapi, apabila rakan saya yang lain siap urusan mereka dan menerima buku bank mereka pada hari yang sama, ia menjadi satu perkara anih mengapa akaun bank saya tidak boleh diaktifkan bersama-sama mereka. Berbekalkan ilmu bahasa jepun yang masih kucar-kacir dan kecekalan di hati, saya tekankan perkara ini kepada pihak bank. Mungkin hasil dari desakan kami atau ketidak mahuan kerani itu mendengar bahasa Jepun mereka dihancurkan oleh makhluk asing dari Malaysia ini, kerani itu akhirnya membawa keluar sebuah buku protokol besar berwarna biru.  Diselaknya buku itu ke bahagian bahasa Inggeris  dan ditunjukkkan kepada kami. Biasalah, buku protokol penuh dengan perkataan yang berbelit-belit, tetapi beberapa perkataan sempat saya fahamkan; “suspected terrorists” dan “background check”. Aduhai….. menggeleng-geleng lah saya dihadapan kaunter itu berlatar belakangkan gelak tawa rakan yang lain. “Kami bukan nak kata Encik ni ……, tapi kami hanya ikut protokol sahaja….”,  bersungguh-sungguh kerani itu cuba untuk menjelaskan dengan sopan tanpa menyinggung perasaan saya. Memang betul lah apa yang orang lain katakan tentang Customer Service di Jepun. Kerani itu melayan kami dengan baik tanpa pernah lekang senyuman di muka. Mungkin ini satu-satunya insiden dimana saya tidak terasa hati disuspect sebagai terrorist. Lagipun, protokol ini juga berkemungkinan besar dipakai oleh negara-negara lain.

                Selain itu, perkara yang ramai telah umum ketahui ialah masyarakat Jepun sangat pemalu dengan orang luar dan sering dikatakan selalu “takut” atau “mengelak diri” dari foreigner. Tetapi hal ini sebenarnya bukanlah tertumpu pada foreigner sahaja. Mereka juga akan sering menjauhkan diri dari orang yang mereka tidak kenal dan ramai antara mereka lebih suka menyendiri daripada bergaul. Kesimpulannya, masyarakat Jepun boleh dikatakan mempunya lebih ramai introverts. Tambahan lagi, “aura” seorang foreigner itu mungkin lebih kuat dan lebih overwhelming berbanding dengan biasa, menyebabkan ramai yang akan mengelak diri dari bergaul atau mendekati foreigner. Kebiasaanya, kita akan rasa terasing kerana tiada siapa yang akan duduk bersebalahan kita di kelas mahupun di pengangkutan awam seperti bas atau kereta api.

                Kejadian yang paling tidak bokeh dilupakan ialah semasa menaiki lif di pasaraya Don Quijote. Setelah puas membeli-belah di pasaraya tersebut bersam 3 orang rakan Malaysia lain, kami terus menaiki lif untuk ke parkir bumbung. Saya sebagai orang terakhir menaiki lif, berdiri betul-betul dihadapan pintu. Satu tingkat lagi sebelum sampai ke parkir bumbung, lif berhenti dan pintunya terbuka menandakan ada orang yang ingin masuk. Maka saya pun berpaling menghadap ke arah pintu lif, dan disitu kelihatan dua orang wanita Jepun dengan muka yang terkejut (mungkin setelah melihat muka saya), lalu mereka berdua terus bergegas ke arah tangga sebelum saya sempat berganjak untuk memberikan ruang kepada mereka. Sambil saya terkaku dihadapan pintu lif yang mula tutup dengan perlahan, gelak ketawa dan sindiran mula kedengaran di antara rakan yang lain melihatkan reaksi tersebut. Saya faham dua orang wanita itu tidak boleh dipersalahkan, bahkan saya juga mungkin akan berasa takut dan lari jika tiba-tiba terserempak dengan satu makhluk anih berbadan besar dan berjambang lebat. Tapi…. cover lah sikit…. Bagaimana saya tahu mereka lari dari lif dan pergi ke kereta melalui tangga? Kerana kebetulan kereta mereka parkir berhadapan dengan kereta saya. Jadi anda boleh bayangkan sendiri apa jadi bila kami terserempak lagi. Kah kah kah…. Padan mukalah kau wahai dua wanita Jepun yang tak dikenali… terpaksa bersemuka dengan makhluk berjambang ini lagi.

                Di sini bukanlah saya hendak katakan orang Jepun semuanya akan lari dari foreigner. Bahkan ramai antara mereka sebenarnya yang akan lebih berasa curious dengan foreigner. Terutama sekali jika kita nampak lebih berbeza berbanding orang lain, seperti muka dipenuhi jambang atau berjanggut. “Aura” foreigner yang melimpah-ruah itu akan lebih menarik perhatian ramai, walau kebanyakan mereka hanya memerhati dari jauh dan takut untuk datang bergaul. Antara sebab utamanya ialah mereka takut kita tidak boleh bercakap dalam bahasa Jepun, kerana mereka sendiri sedar bahasa Jepun itu susah dan hanya banyak diguna pakai di Jepun sahaja. Tambahan pula kebanyakan dari mereka tidak fasih berbahasa Inggeris, menyebabkan mereka tiada keyakinan untuk memulakan pergaulan dengan foreigner. Maka, jika ingin bersembang dengan orang Jepun, kita sendiri perlu memulakan perbualan untuk menunjukkan yang kita boleh bercakap dan bergaul dalam bahasa Jepun. Lebih-lebih lagi dengan pakcik-pakcik atau makcik-makcik di sana. Ada antara mereka yang suka bersembang jika level Jepun kita setaraf mereka. Ada juga antara mereka yang akan mula bertegur sapa dengan kita, atau yang terjadi kepada saya; seorang pakcik Jepun datang secara tiba-tiba dan terus membelai janggut saya tanpa berkata apa-apa. Mungkin dia ingin break the ice tetapi tidak tahu bagaimana cara yang sesuai, atau rasa ingin tahu yang membuak-buak telah menguasai badannyan, saya pun tidak tahu. Tetapi setakat ini hanya seorang sahaja yang datang membelai janggut saya dengan tiba-tiba. Jadi, kemungkinan besar tiada individu lain yang akan cuba perkara sedemikian, tetapi tidak bermakna ia tidak akan berlaku pada anda.

                Apa yang boleh saya simpulkan, masyarakat Jepun, walau ramai yang akan menjauhkan diri dari foreigner, kebanyakan mereka lebih berasa curious tetapi tidak mempunyai keyakinan diri untuk bergaul dengan orang luar. Maka kita sendiri perlu memulakan pergaulan dan tunjukkan kita boleh bergaul dalam bahasa Jepun. Jika anda disyaki sebagai terrorist, itu semua hanyalah protokol semata-mata. Tidak kisah lah anda berkulit hitam, berkulit putih, Islam, Kristian, berjanggut atau tidak, jika anda datang dari Malaysia, Arab mahupun Eropah, bagi masyarakat Jepun, semua orang luar adalah sama “foreigner”.

Tips mudah untuk mahir dalam sistem pengangkutan tren (densha) di Tokyo, Jepun

Penulis: Aiman Mohd (Toyo University)

   Dalam ruangan penulisan kali ini, saya ingin berkongsi tips-tips kepada pengunjung yang datang ke Tokyo,Jepun khususnya kepada pelajar-pelajar yang bakal ataupun yang tengah belajar di Negara Matahari Terbit ini. Berikut adalah tips yang mungkin boleh digunakan ketika anda berada di sini:-

  1. Perancangan

  Dalam setiap destinasi yang ingin ditujui sama ada jauh ataupun dekat, perancangan perjalanan yang teliti ataupun “route selection planning” adalah benda yang sangat penting kerana laluan tren di Tokyo amat rumit dan boleh menyebabkan anda migrain sekiranya tiada perancangan perjalanan yang teliti. Oleh itu, terdapat beberapa kemudahan perisian fon (apps) yang anda boleh gunakan sepanjang keberadaan anda di sini.

  • Google Map (ENG)
  • 乗換案内 (Bahasa Jepun)
  • Yahoo! 乗換案内 (Bahasa Jepun)

2. Pengangkutan

Umum mengetahui bahawa Tokyo merupakan bandar metropolitan yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 9.2 milion orang. Oleh yang demikian, sudah tentulah carta rangkaian pengangkutan awam boleh membuatkan anda migrain dan berada dalam kekeliuran yang nyata. Untuk sistem rangkaian pengangkutan tren dalam Tokyo, terdapat 3 syarikat besar ataupun badan-badan yang bertanggungjawab yang mengendalikan tren di sini.

  • JR RAILWAY
  • TOKYO METRO
  • Syarikat Keretapi Persendirian (私鉄)

3. Permilihan Pass/Tiket Tren

Setelah ada destinasi yang jelas, pemilihan pengangkutan, maka sudah cukup maklumat untuk membuat keputusan bagi pemilihan pass/tiket yang bakal digunakan berdasarkan faktor duit poket, kesesuaian dan keselesaan masing-masing. Bagi pengunjung yang datang ke Tokyo, pass/ticket yang sering laku dan menjadi rebutan hangat adalah :-

  • TOKYO METRO AND TOEI PASS
  • TOKYO METRO 24 HOURS PASS
  • JR EAST TOKYO METROPOLITAN DISTRICT PASS

(都区内パス)

4. Rumusan

Natijahnya, perancangan yang teliti perlu diusahakan sebaik mungkin agar destinasi dapat ditujui tanpa sesat dan kekeliruan. Secara amnya, untuk pemilihan pass, kekerapan beberapa kali menggunakan tren hendaklah diambil kira, contohnya jika penggunaan pass tidak melebihi 4-5kali maka tidak berbaloi menggunakan sebarang pass. Sebagai alternatif lain, penggunaan IC kad (PASSMO, SUICA)  sudah mencukupi.

RANCANGLAH PERJALANAN ANDA SEBAIK MUNGKIN

HIDUP SEBAGAI MUSLIMAH DI JEPUN

Penulis: Najwa Azmi

Pertama sekali, saya ingin menyatakan bahawa setiap pengalaman yang dialami mungkin berbeza buat setiap individu namun saya berharap agar coretan pendek ini mampu memberi manfaat buat sesiapa yang membaca.

Pengalaman tinggal di Jepun merupakan antara salah satu pengalaman yang menarik untuk dikongsikan buat semua. Kita mulakan dengan solat. Apabila hidup di negara minoriti Islam, ianya sangat diakui bahawa agak sukar untuk kita sebagai seorang wanita Islam untuk menunaikan kewajipan kita sebagai seorang muslim dari segi solat, memandangkan kurangnya tempat-tempat solat dan wudhu disediakan berbanding negara Malaysia, namun itu bukanlah satu alasan yang kukuh untuk kita meremehkan serta meninggalkan kewajipan yang satu itu. Sebagai penyelesaian, kami sendiri sering membawa botol kosong kecil ke mana-mana saja kami pergi kerana tandas di jepun kebiasaannya menggunakan bidet atau tisu sahaja, dan agak sukar untuk kita mengambil wudhu di singki kerana bimbang akan membasahkan kawasan sekeliling singki itu dan itu bukanlah sesuatu yang digemari oleh masyarakat Jepun. Adalah satu tuntutan wajib buat kita untuk menutup aurat, dan sesungguhnya memakai pakaian yang menutup aurat serta bersih akan memudahkan kita sebagai wanita untuk menunaikan solat, kerana kebiasaannya kami akan solat di mana-mana sahaja kawasan yang bersih sebagai contoh di taman atau di tepi bangunan. Agak mencabar kerana kita perlu menjaga wudhu (mungkin sepanjang hari) jika mahukan kemudahan, pada mulanya agak sukar namun jika sudah menjadi kebiasaan, kita mampu melakukannya.

Kemudian, ayuh kita sentuh perihal makanan. Restoran halal di Jepun semakin bertambah terutama di bahagian-bahagian bandar dan itu merupakan satu kelebihan buat mereka yang tinggal di bahagian bandar, namun di sini jugak saya ingin menyatakan bahawa kemudahan untuk mencari makanan dan bahan masakan halal adalah amat mudah, dan secara peribadi saya sangat bersyukur atas kemudahan itu. Bahan-bahan basah boleh didapati dengan mudah, hanya dengan hujung jari (internet) dan bahan-bahan itu akan dihantar terus ke rumah. Mudah bukan? Ikuti perkembangan page-page Halal Japan di media sosial agar kita lebih peka akan sebarang pengumuman makanan-makanan yang halal mahupun haram di sini. Pilihlah makanan dengan sebaiknya kerana ianya akan menjadi darah daging kita dan sudah tentulah kita hanya mahukan makanan yang terbaik buat diri kita.

Hormati gaya hidup masyarakat Jepun, kita ambil perkara-perkara yang baik untuk dijadikan teladan, dan letak tepi perkara-perkara buruk sebagai sempadan. Terapkan keyakinan diri, bergaul dengan masyarakat Jepun, jaga diri jaga batas jaga agama, betulkan niat dan jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Jangan terlalu leka akan kebebasan yang dimiliki, jangan biarkan depresi menguasai diri, tetapkan azam yang kuat, dan jangan sembunyikan diri atau masalah secara peribadi, kerana apabila kita berada di negara asing, kekuatan mental dan iman adalah sangat penting demi memastikan kita mampu meneruskan azam kita sehingga ke akhirnya.

PERSEDIAAN SEBELUM MERANTAU KE JEPUN

Penulis: Fazrul Zahir

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Umum diketahui bahawa negara Jepun sangat terkenal dengan pelbagai nilai positif hingga menjadi sebuah negara ‘role model’ kepada Malaysia melalui Dasar Pandang ke Timur. Namun begitu, tidak bermakna semua yang indah itu mudah. Terlalu banyak cabaran dan dugaan baru yang memerlukan persediaan rapi dalam pelbagai aspek sekiranya seseorang memasang impian untuk memilih Jepun sebagai tempat merantau lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar. Berikut merupakan beberapa tips persediaan yang agak penting untuk dikongsikan.

1.Persediaan Agama

Negara Jepun bukanlah sebuah negara Islam. Kalau di Malaysia , tak sampai beberapa kilometer memandu kereta pasti akan terserempak dengan masjid. Malaysia juga terkenal dengan logo halal JAKIM yang sangat dipercayai umat Islam di seluruh dunia. Antara bentuk cabaran yang bakal dilalui adalah seperti mencari tempat untuk solat, waktu kelas yang bertindih dengan waktu solat Jumaat, mendapatkan makanan yang halal, dan juga cabaran apabila ditanyakan mengenai Islam oleh orang-orang Jepun. Di Jepun lah pertama kali anda akan rasa solat di taman, bawah tangga, di belakang loker atau di mana sahaja tempat yang dirasakan sesuai. Kalau bab makanan pula sangat memerlukan penelitian terhadap kandungan bahan (tulisan-tulisan kanji).

Oleh yang demikian, sangatlah perlu untuk kita membekalkan diri dengan pengetahuan agama yang lengkap mengenai solat, halal dan haram dalam pemakanan, dan juga fiqh-fiqh luar negara. Banyakkan bertanya kepada yang lebih mengetahui untuk menambah keyakinan soal pemakanan.

Secara ringkas, jangan tinggal solat lima waktu walaupun anda tercampak ke tempat yang jauh daripada masyarakat Islam. Nasihat ini nampak mudah, tapi macam-macam perkara di luar jangkaan boleh berlaku. Kalau boleh sertailah mana-mana badan usrah kerana sekurang-kurangnya ada orang yang akan mengingatkan kita perkara-perkara soal kerohanian. Dapatkan juga nombor telefon ustaz atau ustazah yang faqih dalam fiqh luar negara yang boleh anda hubungi jika ada sebarang permasalahan agama. Jangan lupa juga sisipkan senaskhah al-Quran ke dalam beg sebagai teman.

2. Persediaan Mental

Orang Jepun bukanlah seperti orang Malaysia yang terkenal dengan sikap ramah, mesra dan mudah dibuat kawan. Namun begitu tak bermakna mereka jahat atau sombong. Kita cuma perlu meng’extrovet’kan diri kita lebih daripada biasa sekiranya hendak bergaul dengan mereka. Kadang-kadang ada antara kita yang malu untuk memulakan perbualan dan akhirnya kita rasa kita didiskriminasikan dan dipinggirkan daripada kelompok pelajar mereka sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya. Memang tak dapat dinafikan ada juga di sesetengah tempat yang berlaku diskriminasi terhadap pelajar luar negara bukan sahaja oleh pelajar bahkan termasuk juga oleh guru/pensyarah. Oleh yang demikian, sentiasalah berfikiran positif dan tunjukkan nilai-nilai yang baik kepada mereka. Moga-moga persepsi mereka berubah.

Tekanan dalam kehidupan seharian juga tak dapat dielakkan. Kelas atau subjek ada yang susah,jadual padat, serta pelbagai lagi. Ada juga kes ibu bapa meninggal dunia (minta dijauhkan)pada masa yang menyukarkan individu untuk pulang. Mental perlu kuat untuk menghadapi tekanan-tekanan dan cabaran seperti ini . Jangan pernah rasa sendirian jika anda terbeban. Selalulah menghubungi ibu-bapa di kampung bertanyakan khabar, saling mendoakan dan juga luangkan masa untuk bergaul dengan kawan-kawan terdekat. Di luar negara, kawan-kawan anda adalah keluarga anda. Jangan terperap di dalam bilik sahaja! Sebagai contoh mungkin ada yang cuba melupakan masalah dengan bermain permainan video dan akhirnya terus mengabaikan pelajaran, tanggungjawab agama dan bersikap anti sosial. Selalulah ingatkan diri sendiri matlamat sebenar keberadaan anda di Jepun dan jangan sesekali lari daripada masalah.

3.Persediaan Barang Keperluan

  • Pakaian

Jepun merupakan negara empat musim dan setiap musim ada fesyen pakaian yang berbeza. Dari segi pakaian, seeloknya bawa sedikit yang perlu sahaja kerana anda akan rambang mata untuk membeli pakaian baharu di Jepun. Kalau jaket dan baju sejuk bawa sepasang sahaja sudah memadai kerana harga baju sejuk di Malaysia agak mahal. Jangan lupa juga untuk bawa sepasang baju Melayu / baju Kurung untuk dipakai dalam majlis-majlis kebudayaan atau sambutan hari perayaan.

  • Makanan

Kenapa perlu bawa pakaian sedikit sahaja? Hal ini bagi membolehkan anda memenuhkan ruang bagasi dengan bekalan makanan yang secukupnya. Bawalah segala rempah ratus untuk masakan, mi segera, kicap dan sos cili. Kenapa sos cili? Kalau anda nak tahu di Jepun sangatlah susah untuk mendapatkan sos cili mungkin kerana cita rasa orang Jepun yang tak suka makan pedas. Begitu juga sambal untuk dibuat masakan pedas. Kalau tak pandai masak, tak perlu risau kerana anda akan terlibat dengan pelbagai eksperimentasi di dapur yang akhirnya menjadikan anda

seorang pro!

  • Ubat-ubatan

Ubat-ubatan di Jepun agak mahal. Sebaiknya bawa ubat-ubatan yang biasa seperti paracetamol, ubat batuk, minyak angin, minyak gamat dan sebagainya sebagai persediaan. Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?

  • Barangan lain

Selain itu, di Jepun telefon bimbit dijual secara pakej dengan kad sim. Oleh itu dinasihatkan untuk tidak membeli telefon pintar baru di Malaysia sebaliknya beli sahaja di Jepun seperti dari syarikat Softbank, Docomo dan sebagainya. Berbeza dengan komputer riba yang sebaiknya beli dari Malaysia kerana harga lebih murah. Jangan lupa juga untuk membawa plug penyesuaian perkakas elektrik untuk membolehkan penggunaan barang elektrik dari Malaysia di Jepun. Kesimpulannya, ini merupakan perkongsian cabaran dan tips persediaan ringkas berdasarkan pengalaman tinggal di Jepun dan situasi setempat. Diharapkan tips-tips tersebut dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar khususnya yang akan menjejakkan kaki ke bumi Sakura pada masa akan datang.

RAMADHAN DI JEPUN

Penulis: Sayyidatul Akma (Kyushu University)

Tahun 2018, merupakan Ramadhan yang semestinya berbeza dalam hidup saya. Ini merupakan Ramadhan pertama tanpa keluarga disisi serta jauh daripada tanah air tercinta, sebagai seorang yang baru sahaja 3 bulan bergelar mahasiswa di perantauan, cabaran ketika berpuasa merupakan salah satu pengalaman yang saya teruja untuk miliki. Apatah lagi, berpuasa di negara yang majoritinya tidak menganut apa-apa agama, menambahkan lagi rasa ingin tahu bagaimana reaksi atau pandangan mereka tentang Ramadhan. 

Jangka waktu berpuasa di bumi Sakura ini kira-kira 16 jam yang mana Subuh seawal jam 230 pagi, manakala waktu Maghrib  pada jam 7 malam. Terkadang, sedang sibuk menelaah pelajaran, sehingga tidakk sedar sudah hampir waktu Subuh. Mujur tidak terlepas sahur, jika tidak, alamatnya berpuasa lah 24 jam.
Perkara yang paling saya rindu ketika berpuasa di Malaysia ialah tidak lain tidak bukan, suasana solat terawih di sana. Disebabkan jumlah umat Islam di negara matahari terbit ini boleh dikira dengan jari, suasana terawih juga tidak semeriah di negara ibunda. Berbeza dengan di sini, selepas terawih juga akan diadakan moreh di kebanyakan surau dan masjid di Malaysia. Pada waktu itu, hubungan erat antara umat Islam juga lebih mudah terjalin.   
Berpuasa di sini dari segi fizikalnya tidaklah terlalu mencabar kerana walaupun sedang menghampiri musim panas, suhunya tidaklah terlalu tinggi. Namun dari segi mental, setiap kali lalu-lalang di depan kafe universiti dan koperasi, adalah perkara biasa untuk menahan rasa lapar jika terhidu bau masakan yang enak. Selain  itu, jika terdapat kelas yang tamat lewat, terpaksalah berbuka dengan apa yang ada dalam tangan sahaja, seperti gula-gula atau coklat.
Namun begitu, keseronokan Ramadhan disini ialah, kami sentiasa mencuba menghasilkan menu yang berbeza setiap hari sebagai juadah berbuka.

Setakat ini pelbagai juadah yang telah kami rakan senegara masak bersama seperti ayam buttermilk, bihun sup, lauk ikan singgang,tomyam serta kuih seperti apam balik.  Tetapi, jika sudah tidak sempat, pilihan terakhir kami ialah berbuka di kafe universiti yang ada menjual menu halal. Selain itu, setiap hujung minggu juga akan diadakan jamuan berbuka  antara negara-negara Islam yang lain  seperti Indonesia dan Bangladesh. Pada waktu itu, kami semua berpeluang mengenal antara satu sama lain dan mencuba menu masakan daripada negara masing-masing juga. Negara Malaysia telah mengadakan jamuan ini pada minggu kedua puasa  dan kami telah menghidangkan sajian seperti nasi hujan panas, ayam masak merah, serta hidangan potluck yang dibawa seperti chocolate brownies, papadom, puding karamel dan apam balik.
Sahur disini sama sahaja seperti menu di Malaysia, jika ada makanan lebih ketika berbuka, ataupun makanan yg mudah dihidang seperti bijirin ataupun roti. Satu sahaja perkara yang berbeza pada saya, jika sebelum ini  suara kakak, mak dan abah yang mengejutkan saya untuk bersahur, sekarang hanya bunyi jam penggera dan suara kawan-kawan menjadi pengganti.


Satu lagi perkara yang dirindui ketika berpuasa di Malaysia ialah bazar di sana. Di Jepun, bukan sahaja bazar, malah pasar malam juga tiada. Oleh kerana merindukan suasana bazar di Malaysia, saya sering mencari menu kuih-muih yang sesuai untuk berbuka di media sosial terutamanya Facebook dan seterusnya jika bahan-bahan yang diperlukan boleh diubahsuai atau boleh didapati di Jepun, saya akan mencuba resipi tersebut.
Seperti orang lain, masakan ibu merupakan masakan yang tiada tolok bandingnya. Oleh itu, untuk memilih hanya satu masakan yang saya rindui itu adalah amat mustahil. Akan tetapi,  membantu ibu memasak juadah berbuka merupakan momen-momen yang tidak akan dapat saya lupakan dan akan dirindui sepanjang masa.